RMK13 seharusnya jadi peluang tambah nilai kuasa negeri - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) seharusnya dirangka dengan struktur yang lebih baik berbanding pelan pembangunan sebelumnya, termasuk dijadikan peluang untuk memberi nilai tambah kepada kuasa negeri atau mengurangkan kuasa Persekutuan.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkata, pengurangan kuasa Persekutuan dalam aspek dan kadar tertentu penting supaya negeri dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.

“Ini untuk memastikan jika negeri dan pusat berbeza politik, ia tidak memberi kesan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Ya, saya faham, kita mempunyai kerangka pembahagian kuasa negeri dan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita semua maklum bahawa keadaan semasa Perlembagaan digubal adalah hampir 70 tahun lalu, tentunya berbeza dengan keperluan semasa pada waktu ini,” katanya ketika sesi perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, tanpa usaha untuk menambah kuasa negeri dan mengurangkan kuasa Persekutuan, pelbagai isu akan timbul.

“Contoh realiti yang sering saya berikan adalah berkaitan pelaburan ke negeri-negeri. Walaupun diumumkan projek pelaburan berbilion-bilion jumlahnya, pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja,” katanya.

Beliau menambah, keadaan ini berlaku kerana negeri mempunyai kuasa kutipan cukai dengan jumlah yang sangat kecil berbanding pendapatan syarikat dan individu yang diperoleh oleh kerajaan Persekutuan.

Ahmad Samsuri turut mempersoalkan mengenai penekanan terhadap hak negeri yang kurang diberikan perhatian dalam usaha kerajaan untuk merancakkan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) seperti terkandung dalam dokumen RMK13.

“Sedangkan REE ini di bawah bidang kuasa negeri yang tertakluk dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang paling membimbangkan kami di negeri, seingat rekod yang negeri ada, pihak negeri tidak pernah dilibat urus mengenai tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat (AS) terhadap NREE di Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!