Perak mahu projek air Bukit Merah libatkan kontraktor tempatan

Saarani (duduk, tengah) ketika hadir ke Program Hari Bertemu Pelanggan di Dewan MPTI Langkap, pada Isnin.
Saarani (duduk, tengah) ketika hadir ke Program Hari Bertemu Pelanggan di Dewan MPTI Langkap, pada Isnin.
A
A
A

TELUK INTAN – Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah yang dianggarkan bernilai RM6.2 bilion akan melibatkan penyertaan kontraktor tempatan bagi memastikan manfaat ekonomi turut dinikmati rakyat negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menetapkan pendirian supaya pelaksanaan projek mega itu memberi peluang kepada kontraktor kelas G1 dan subkontraktor kecil di negeri ini.

Menurutnya, projek tersebut yang asalnya dianggarkan berjumlah RM5 bilion telah meningkat kepada RM6.2 bilion, justeru limpahan ekonomi daripada pelaksanaannya perlu diagihkan secara adil.

“Saya difahamkan kertas Kabinet akan dibawa pada minggu ini. Jadi dulu dalam mesyuarat exco kita buat keputusan supaya kertas Kabinet itu kena ambil kira permintaan dan ulasan daripada kerajaan negeri sebab pertama air itu adalah hak negeri.

"Urusan-urusan pelaksanaannya juga kena ambil kira kepentingan kepada kontraktor-kontraktor di negeri ini. Kita sudah putuskan supaya PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) bersetuju dengan kerjasama antara PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan Gamuda Bhd sebagai pelaksana dengan mengambil kira penglibatan kontraktor kecil tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di sini pada Isnin.

Saarani berkata, jajaran projek berkenaan telah ditetapkan hasil beberapa siri bengkel melibatkan wakil kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaannya menepati keperluan Perak.

Jelasnya, projek itu akan memberi manfaat utama kepada sistem pengairan pertanian di kawasan utara Perak dan memenuhi keperluan air bagi kawasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.

“Saya harap projek ini dapat disegerakan kerana yang paling penting kita nak selesaikan masalah pengairan pertanian di sebelah utara, yang kedua kita nak bantu keperluan air bagi KIGIP.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada lebihan baru kita kira nak jual air kepada Pulau Pinang. Jadi tiga dalam satu," katanya.

Pada 16 Julai lalu, media melaporkan Gamuda Bhd menerusi kerjasama dengan PKNPk menerima surat lantikan (LOA) daripada kerajaan negeri Perak membabitkan pembangunan dan pengoperasian prasarana rawatan dan agihan air Kerian.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu berkata di bawah terma pelantikan itu, usaha sama (JV) PKNPk-Gamuda akan melaksanakan projek berkenaan secara penswastaan dengan tempoh operasi minimum selama 40 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!