'Penduduk Gaza tidak akan berganjak'

Penduduk Palestin mendirikan khemah sementara berhampiran kawasan runtuhan struktur di tengah Gaza.
Penduduk Palestin mendirikan khemah sementara berhampiran kawasan runtuhan struktur di tengah Gaza.
A
A
A

BANDAR GAZA - Penduduk Palestin sekali lagi berdepan arahan pemindahan paksa dengan perasaan bercampur-baur selepas Israel mengumumkan rancangan pengambilalihan bandar terbesar di Genting Gaza di mana hampir sejuta orang sedang berlindung.

Bandar Gaza dilanda huru-hara sejak Jumaat selepas Kabinet Tel Aviv meluluskan pelan jahat tersebut yang bakal menyaksikan pengusiran paksa penduduk Palestin yang sudah lelah berpindah-randah ke zon ditetapkan di kawasan selatan wilayah itu.

'Bandar khemah' didiami penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sejak 22 bulan lalu.
'Bandar khemah' didiami penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sejak 22 bulan lalu.

"Lebih baik saya mati di sini. Saya tidak akan berpindah lagi setelah segala penderitaan yang telah kami lalui selama ini," kata Ahmed Hirz yang sudah ke sana sini tanpa arah tuju sebanyak lapan kali bersama keluarganya sejak perang genosid itu tercetus kira-kira 22 bulan lalu.

Pendirian sama dinyatakan Rajab Khader dan Maghzouza Saada yang nekad enggan berganjak ke selatan Gaza.

"Tiada jaminan kawasan selatan selamat kerana di mana-mana lokasi tetap bahaya. Ke mana lagi kami perlu berpindah. Adakah kami perlu terjun ke dalam laut?" kata Saada yang juga berpindah-randah beberapa kali dari Beit Hanoun.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud berkata, kebanyakan penduduk Palestin mula panik setelah mendengar tentang pelan pembersihan etnik yang bakal dilancarkan Zionis.

Menurutnya, ramai mula mengemas barang masing-masing sebagai persediaan jika mereka benar-benar terpaksa beredar dari kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ketakutan dan keputusasaan semakin meningkat. Mereka khuatir jika dibunuh selepas berpindah ke 'zon selamat' ditetapkan Israel," ujarnya.

Zionis memperhebatkan kempen pengeboman di kawasan kejiranan al-Zeitoun di selatan Bandar Gaza.
Zionis memperhebatkan kempen pengeboman di kawasan kejiranan al-Zeitoun di selatan Bandar Gaza.

900,000 penduduk berisiko

Sementara itu, Pengarah Rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin, Amjad Shawa berkata, penduduk Palestin sudah kepenatan berpindah ke sana sini.

"Prospek pemindahan pada kali ini lebih berbahaya memandangkan infrastruktur penting seperti hospital dan kemudahan air sudah binasa sepenuhnya. Tiada apa yang tinggal dan ia sememangnya berisiko tinggi buat mereka.

"Kami perlu memindahkan warga emas, pesakit dan mangsa cedera yang tidak boleh berjalan. Kami tidak boleh tinggalkan mereka.

"Pemindahan paksa kira-kira 900,000 penduduk Palestin di bandar itu akan mengambil masa selama beberapa minggu dan tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," tambahnya.

Bantuan dari udara terus disalurkan kepada penduduk Palestin di Jabalia, utara wilayah itu.
Bantuan dari udara terus disalurkan kepada penduduk Palestin di Jabalia, utara wilayah itu.

Difahamkan, Israel juga tidak memberikan garis masa yang tepat tentang pelan keji mahu menduduki Bandar Gaza.

Tetapi, serangan darat dilaporkan sudah bermula selain unit infantri mara ke sepanjang selatan Tel Aviv.

Pakar bagaimanapun percaya, Israel tidak akan dapat merealisasikan rancangan jahat tersebut tanpa sokongan berbilion dolar daripada sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS).

Hamas pula menegaskan tindakan Zionis jelas satu bentuk jenayah perang dan keputusan itu menjelaskan mengapa Tel Aviv menarik diri secara tiba-tiba daripada pusingan akhir rundingan gencatan senjata.

"Penduduk Palestin akan menentang sebarang rancangan penaklukan Zionis dan mengutuk Washington kerana berterusan melindungi kekejaman sekutu mereka," menurutnya menerusi kenyataan di aplikasi Telegram. - Agensi

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!