[VIDEO] 'Saya hanya fikir mahu selamatkan anak'

A
A
A

BUTTERWORTH - "Saya hanya fikir mahu selamatkan anak walaupun tahu suspek memegang pisau ketika bergelut mahu meloloskan diri."

Itu kata Mohammad Solihin Abd Jalil, 32, menceritakan detik cemas apabila anak lelakinya, Mohammad Arash Syufian, yang baru berusia 11 bulan nyaris dijadikan tebusan oleh seorang lelaki warga Vietnam bersenjata pisau di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, Solihin berkata, dia bersama isteri dan tiga orang anaknya ke pasar raya berkenaan bagi membeli barangan keperluan dapur.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama anak sulung dan anak bongsu sedang berada di bahagian pakaian untuk memilih seluar manakala isterinya dan seorang lagi anak berada di bahagian barang basah.

"Waktu kami sekeluarga sampai di pasar raya itu, keadaan masih tenang dan tidak dimaklumkan pun ada berlaku tangkapan kes curi ataupun terdapat kes suspek melarikan diri.

"Ketika saya sedang memilih seluar untuk anak sulung tiba-tiba dengar keadaan kecoh sebelum suspek meluru lari ke arah kami dan cuba merampas anak lelaki saya yang sedang didukung kakaknya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Teluk Air Tawar di sini pada Ahad.

Mohammad Solihin (kanan) berkata, anaknya bongsunya, Mohammad Arash Syufian kini trauma dengan bunyi bising selepas insiden nyaris dijadikan tebusan seorang suspek kes curi di sebuah pasar raya.
Mohammad Solihin (kanan) berkata, anaknya bongsunya, Mohammad Arash Syufian kini trauma dengan bunyi bising selepas insiden nyaris dijadikan tebusan seorang suspek kes curi di sebuah pasar raya.

Tergamam dengan keadaan itu, Mohammad Solihin yang merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus bertindak mendapatkan semula anaknya yang cuba dibawa lari selain dibantu beberapa pelanggan lain dalam pasar raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apa yang paling menakutkan ketika itu apabila suspek dilihat cuba menikam kepala anaknya dengan pisau pemotong.

"Saya sempat menghalang dengan menadah kepala saya, menyebabkan saya cedera ringan. 

"Mujurlah mata pisau itu patah. Selepas suspek jatuh orang ramai bertindak memukul lelaki warga asing itu.

"Saya bersyukur kerana cubaan suspek menarik bayi lelaki kami juga tidak berjaya, saya rasa dia cuba tikam untuk ugut orang ramai supaya lepaskan dia.

"Nasib baik kakak dia pegang adiknya dengan kuat, kalau tidak tak tahu apa akan jadi," katanya lagi.

Dalam pada itu, Solihin melahirkan rasa kesal terhadap pengurusan pasar raya berkenaan yang sehingga kini tidak menghubungi atau bertanya khabar keluarganya selepas insiden tersebut.

Katanya, selepas kejadian itu, bayinya menjadi trauma dengan bunyi bising dan sering menangis ketika sedang tidur.

"Saya tak sangka kejadian malang ini akan menimpa anak sendiri. Selalu tengok di media sosial sahaja kejadian seperti itu.

"Saya berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi dan pihak pengurusan pasar raya patut mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan keselamatan terutamanya dalam mengendalikan kes tangkapan pencuri," katanya lagi.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, bayi berusia 11 bulan nyaris dijadikan tebusan oleh seorang lelaki warga Vietnam yang cuba melarikan diri selepas dikesan mencuri beberapa makanan laut di sebuah pasar raya di sini

Suspek telah ditahan dan direman empat hari bermula Ahad hingga 13 Ogos untuk siasatan di bawah Seksyen 380, Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!