Lelaki Vietnam curi, cuba jadikan bayi tebusan direman 4 hari

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Vietnam yang cuba menjadikan seorang bayi berusia 11 bulan sebagai tebusan ketika melarikan diri selepas dikesan mencuri di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, Butterworth, direman empat hari.
Perintah reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Aina Ahmad bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 380, Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Suspek, yang juga bapa kepada tiga anak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9.45 pagi dengan diiringi anggota polis.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.45 tengah hari Sabtu, suspek dikatakan bertindak menarik bayi lelaki berkenaan sambil memegang pisau ketika dia dikejar sekumpulan pengawal keselamatan dan pekerja pasar raya terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pada mulanya suspek telah ditangkap selepas didapati cuba membawa keluar makanan laut yang telah ditimbang tanpa membuat bayaran.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu berjaya melepaskan diri dan menarik bayi lelaki yang sedang dikendong ibunya.
“Berlaku pergelutan antara suspek, mangsa dan orang awam di tempat kejadian.
“Suspek berjaya ditangkap oleh pengadu dengan bantuan beberapa pekerja serta orang awam di dalam pasar raya berkenaan sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian,” katanya.
Terdahulu, tular video insiden berkenaan di media sosial termasuk detik mencemaskan apabila bayi lelaki berkenaan cuba dilarikan oleh suspek.
Difahamkan, beberapa orang awam dan pengawal keselamatan pasar raya itu turut mengalami kecederaan ketika bergelut dengan suspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
