Polis siasat isu Jalur Gemilang dipasang terbalik

KEPALA BATAS - Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan perbuatan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang melihat video tular terbabit di laman Facebook.
Menurutnya, dalam video tersebut, seorang lelaki dilihat mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, manakala seorang lagi lelaki merakamnya.
“Pihak polis masih dalam siasatan awal dengan mengambil rakaman percakapan pengadu dan juga suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki kelihatan sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Difahamkan, video berkenaan dirakam di hadapan sebuah kedai perkakasan di Bertam, di sini.
Perbuatan lelaki itu mengundang kemarahan warganet yang menganggapnya sebagai tidak menghormati bendera negara, apatah lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung.
Dalam pada itu, Anuar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan proses siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Safwan Hashim, di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

