Tukun tiruan ‘perisai’ laut Rompin daripada pukat tunda haram

Adnan (kiri) menyempurnakan gimik perasmian melabuh tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang,Rompin pada Sabtu.
Adnan (kiri) menyempurnakan gimik perasmian melabuh tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang,Rompin pada Sabtu.
A
A
A

ROMPIN – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melabuhkan 12 tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di dua kawasan perairan strategik di daerah ini pada Sabtu.

Tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang itu bertujuan melindungi habitat marin serta menyediakan kawasan pembiakan sumber perikanan di perairan negeri ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek tahun ini yang dilaksanakan di dua daerah utama di Pahang iaitu Rompin dan Pekan.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kos RM366,750 melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan berfungsi sebagai benteng fizikal bagi menghalang pencerobohan pukat tunda haram.

“Pada masa sama, ia juga membantu membentuk habitat baharu yang merangsang pertumbuhan stok perikanan dan meningkatkan biodiversiti marin.

“Selain di Rompin, 12 lagi tukun tiruan kuboid akan dilabuhkan di perairan Pulau Berhala, Pekan, pada Oktober depan.

Adnan (lima dari kanan) hadir pada Majlis Perasmian Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang,Rompin pada Sabtu.
Adnan (lima dari kanan) hadir pada Majlis Perasmian Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang,Rompin pada Sabtu.

“Projek bernilai RM372,890 ini dibiayai melalui peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, projek itu dijangka memperluas jaringan kawasan perlindungan marin di Pahang sekali gus meningkatkan stok perikanan dan daya tahan ekosistem laut.

Sementara itu, beliau berkata, projek tukun tiruan ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi menjamin kelestarian sumber perikanan, memulihkan produktiviti perairan, dan melindungi sumber rezeki komuniti nelayan.

“Ia juga kesinambungan usaha DOF dalam memastikan sumber perikanan negara kekal mapan untuk generasi akan datang,” katanya.

Jelas beliau, dalam tempoh 2020 hingga 2025, Pahang telah menerima 53 tukun tiruan dengan kos keseluruhan RM2.03 juta.

Menurutnya, secara keseluruhan sejak 2007, sebanyak 244 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan negeri ini meliputi perairan Rompin, Pekan dan Kuantan.

“Pelaksanaan projek tukun tiruan ini diharap dapat meningkatkan stok perikanan, memulihkan kawasan habitat marin yang terjejas, serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti nelayan setempat,” ujarnya.

Tambah Adnan lagi, pihaknya akan terus melaksanakan langkah-langkah pengurusan dan pemuliharaan yang berkesan bagi memastikan sumber perikanan negara kekal lestari untuk masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!