Kekalkan hak eksklusif NAFAS bekal baja subsidi

Mat Zizam (kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada Mohamad Sabu (kiri) di Parlimen pada Rabu.
Mat Zizam (kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada Mohamad Sabu (kiri) di Parlimen pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Harapan Petani Alor Setar merayu agar kerajaan mengekalkan hak eksklusif Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk membekalkan input pertanian khususnya baja subsidi kepada pesawah.

Pengerusinya, Mat Zizam Mat Isa berkata, pihaknya mengharapkan ihsan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu agar tidak ‘membunuh’ NAFAS dengan pelaksanaan sistem tender terbuka, sebaliknya memberi nafas baharu melalui sistem konsesi atau e-wallet yang diuruskan secara terus oleh NAFAS.

Menurutnya, sekiranya NAFAS dinafikan hak pembekalan akibat pelaksanaan model tender terbuka, hasil dan keuntungan yang selama ini dinikmati oleh ahli peladang melalui pemberian dividen, khidmat selepas jualan dan lain-lain faedah mungkin tidak lagi boleh dinikmati seperti biasa.

“Lebih mengecewakan, keuntungan itu berkemungkinan akan berpindah kepada syarikat luar yang berpengkalan di luar negara seperti China dan Taiwan.

“Sekiranya Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang dimiliki individu boleh diberikan hak eksklusif sebagai ‘single gate keeper’ untuk beras negara, kenapa tidak diberikan hak sama kepada NAFAS untuk pembekalan input pertanian seperti baja dan racun,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mat Zizam turut melahirkan rasa curiga terhadap usaha pihak tertentu yang melobi untuk mendapatkan tender tersebut dan mengingatkan kerajaan supaya tidak membiarkan ‘kartel’ sebenar yang sedang mengintai peluang, mengambil kesempatan melalui kelemahan sistem baharu yang akan dilaksanakan itu.

“Dengan kawalan agensi sedia ada seperti MARDI, Jabatan Pertanian dan Bahagian Kawal Selia Padi Beras, tentunya KPKM berupaya memastikan produk yang dibekalkan melalui NAFAS dijamin kualiti, dijual pada harga kompetetif dan meraikan pemain industri lain supaya tidak memonopoli pembekalan input.

“Kami harap sistem dan model subsidi industri padi dan beras negara diubah kepada kaedah lebih mampan dan memberi hak secara langsung kepada pesawah tanpa meminggirkan Pertubuhan Peladang yang sekian lama menjadi benteng kepada ahli sejak ditubuhkan pada 1972,” jelasnya.

Tambah beliau, NAFAS kini berada di landasan pemulihan urus tadbir di bawah kepimpinan Pengurus Besar muda yang berkaliber dan telah membuktikan keupayaan dengan mengumumkan dividen 10 peratus melalui Dana Peladang Kebangsaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan dengan adanya pengurusan yang baik dan berkesan, NAFAS mampu kembali sebagai entiti yang bukan sahaja boleh dibanggakan oleh ahli peladang, tetapi oleh negara sebagai konglomerat pertanian utama,” katanya.

Mat Zizam berkata, kebergantungan NAFAS terhadap tender runding terus baja subsidi kerajaan Persekutuan adalah amat tinggi.

“Hampir 90 peratus perniagaan NAFAS bergantung kepada tender runding terus ini yang diberikan oleh Perdana Menteri ketika ini sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Pertanian pada 1980-an.

“Kasih dan cinta Menteri KPKM dan Perdana Menteri terhadap NAFAS tidak pernah luntur, malah dibuktikan dengan bantuan serta sokongan diberikan sejak dahulu lagi,” katanya.

Pertubuhan itu turut menyerahkan memorandum berkaitan usaha mengukuhkan kedudukan NAFAS dalam industri padi dan beras negara kepada Mohamad Sabu di Parlimen pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!