Warga asing didenda RM12,000, miliki 350kg minyak masak bersubsidi

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga asing didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah memiliki minyak masak bersubsidi tanpa permit sah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat.
Tertuduh, Tabibar Rahman, 56, juga berdepan dengan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Nor Azah Kasran membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 350 unit minyak masak paket satu kilogram disyaki untuk dijual secara runcit atau borong tanpa lesen atau permit sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 6 Ogos lalu, kira-kira jam 2.40 petang di sebuah premis di Mukim 12, Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Alsad Nasrullah manakala tertuduh diwakili peguam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan dalam satu kenyataan berkata, sabitan itu menjadi isyarat jelas bahawa pihaknya komited melaksanakan inisiatif Kita Gempur bagi membanteras manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan barang kawalan serta bersubsidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

