Lelaki warga asing ditahan simpan rokok, arak seludup lebih RM100,000

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan rokok dan arak tanpa cukai kastam dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Jalan Kota Tinggi hala Kulai, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, operasi dijalankan sekitar jam 12.10 pagi itu menerusi pemeriksaan di pondok pekerja berdekatan Simpang Orchard Golf sebelum menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.
"Hasil pemeriksaan menemui lapan kotak berisi pelbagai jenis rokok serta 19 kotak berisi arak yang disyaki tidak membayar cukai kastam dan turut merampas sebuah motosikal Yamaha FZ150i bersama anak kunci.
“Antara barangan yang dirampas termasuk 50 karton rokok jenama Canyon Premium Classic Merah (10,000 batang), 350 karton rokok Zone King International (70,000 batang) serta beberapa jenis minuman keras berjumlah 484 tin dan 28 botol pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM111,689.
Ujarnya, suspek kini direman selama tujuh hari hingga 10 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda sekurang-kurangnya 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000, mana yang lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen, pesalah boleh dihukum penjara antara tiga bulan hingga dua tahun serta sekurang-kurangnya tiga sebatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

