Kebakaran Putra Heights: Kerja korek tanah miliki permit sah - Datuk Bandar

SUBANG JAYA - Kerja-kerja pengorekan tanah berhampiran lokasi insiden kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, memiliki permit sah daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Petronas.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk berhubung aktiviti pengorekan di kawasan terbabit sebelum kejadian.
“Aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan, dan hasil siasatan MBSJ telah dimaklumkan semula kepada pengadu.
“MBSJ menjalankan pemeriksaan di lokasi kerja pengorekan dan mendapati ia memiliki permit sah yang dikeluarkan oleh MBSJ dan Petronas serta mematuhi prosedur ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights, pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa penduduk Putra Heights menyuarakan kebimbangan terhadap kerja-kerja pengorekan tanah yang dilakukan berhampiran kawasan kejadian sebelum berlaku letupan dan kebakaran.
Dalam kejadian pada jam 8.10 pagi, Selasa lalu, saluran gas milik Petronas terbakar dan menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
