Hentikan rompakan khazanah bernilai negara

Penebangan tanpa kawalan dan pencerobohan tanah merosakkan ekosistem, mencemarkan sumber air, mengganggu kepelbagaian biologi dan melemahkan sistem tanah secara keseluruhan. Foto hiasan
Penebangan tanpa kawalan dan pencerobohan tanah merosakkan ekosistem, mencemarkan sumber air, mengganggu kepelbagaian biologi dan melemahkan sistem tanah secara keseluruhan. Foto hiasan
A
A
A

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini isu pencerobohan tanah di Malaysia telah berkembang daripada isu marjinal kepada krisis kebangsaan.

Sebelum ini Sultan Pahang murka terhadap pencerobohan hampir 14,500 hektar tanah milik kerajaan, termasuk hampir 6,000 hektar hutan simpanan kekal yang telah diceroboh untuk tujuan pertanian secara haram.

Baginda menegaskan bahawa pencerobohan ini bukan sekadar pencabulan undang-undang, tetapi satu bentuk ‘perompakan terbuka terhadap khazanah negeri’ yang harus ditamatkan segera.

Di peringkat persekutuan, statistik menunjukkan bahawa sejak 2015 hingga Mei 2025, sebanyak 465 kes pencerobohan tanah milik kerajaan direkodkan mencakupi keluasan tanah seluas ratusan ribu hektar di seluruh negara.

Di Perak pula, sejak 2014 hingga 2024, kerajaan negeri merekodkan sebanyak 538 kes pencerobohan hutan simpan dengan jumlah kompaun dan denda terkumpul mencapai RM6.4 juta.

Realiti ini menggambarkan implikasi serius terhadap alam sekitar dan kedaulatan pentadbiran.

Penebangan tanpa kawalan dan pencerobohan tanah merosakkan ekosistem, mencemarkan sumber air, mengganggu kepelbagaian biologi dan melemahkan sistem tanah secara keseluruhan.

Tambahan pula, kegagalan pentadbiran dan penguatkuasaan telah membuka ruang kepada isu ini berlarutan selama berdekad tanpa dikawal. 

Namun, terdapat cadangan tanah-tanah yang diceroboh tidak dimusnahkan tetapi diwarta sebagai ladang sah atau diurus melalui koperasi tempatan.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif ini berpotensi memberi manfaat ekonomi sambil menghormati pengguna sah yang terlibat secara tak langsung.

Dalam kerangka yang lebih berstruktur, turut disarankan mengenai pembentukan unti tindakan khas yang dilengkapi kuasa tinggi dan dibentuk melalui akta khas sebagai lambang ketegasan dan deterrent yang efektif terhadap pencerobohan berleluasa.

Pemerkasaan penguatkuasaan termasuk penggunaan teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), kecerdasan buatan, dron dan satelit, serta digitasi serta pemetaan tanah yang lebih tepat diangkat sebagai asas penyelesaian sistemik.

Pencerobohan tanah di Malaysia adalah persoalan yang bukan sekadar berkisar pada pelanggaran undang-undang, tetapi merupakan warta kerosakan alam, kegagalan pentadbiran dan ancaman terhadap hasil negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!