Kedah Fashion Week 2025 angkat identiti budaya, gaya moden

Ken Chin (lima dari kanan) bersama sebahagian pereka fesyen yang menjayakan KFW25 bertemakan Evolut10n.
Ken Chin (lima dari kanan) bersama sebahagian pereka fesyen yang menjayakan KFW25 bertemakan Evolut10n.
A
A
A

ALOR SETAR – Dunia fesyen tanah air sekali lagi bertumpu ke utara Semenanjung apabila Kedah Fashion Week 2025 (KFW25) melabuhkan tirainya di Aman Central dengan penuh gemilang.

Bertemakan Evolut10n, edisi tahun ini bukan sekadar pertunjukan fesyen semata-mata, malah menjadi wadah meraikan kreativiti, keunikan budaya dan kebangkitan bakat tempatan sempena ulang tahun ke-10 Aman Central.

Menurut Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin, gabungan budaya dan kontemporari sepanjang tiga hari penganjuran bermula 1 Ogos lalu menampilkan 24 pereka fesyen ternama dan 11 pereka muda dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan rekaan berani yang menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari.

“KFW25 bukan sekadar pentas fesyen. Ia adalah ruang untuk suara pereka tempatan didengari, identiti dizahirkan dan semangat komuniti diraikan,” katanya yang juga pencetus acara tersebut.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penampilan sulung pereka dari Thailand, Patinya, serta barisan pereka berprofil tinggi seperti Seth and Luna, Salleh Hamid, Teddie Alrashed, Naemah Khuntum, Wan & Mary, Fareez Axuan dan YT Lim.

Nasha Aziz kembali lagi ke Kedah Fashion Week 2025 di bawah naungan GensGreatIdea.
Nasha Aziz kembali lagi ke Kedah Fashion Week 2025 di bawah naungan GensGreatIdea.

Turut menyerikan pentas, pereka muda seperti Shanell Harun, Isyraf Arysi, Hazizul Aziz, Helmi Hamdan dan Liren Ho yang memberi suntikan segar kepada landskap fesyen tanah air.

Pentas KFW25 turut diserikan dengan kemunculan ahli Asian Designers Guild seperti Yani Bakhtiar, Casalwa dan Nurul, sekali gus menampilkan kepelbagaian rekaan Asia yang menggambarkan dinamik budaya serantau.

Artikel Berkaitan:

Ken Chin berkata, Aman Central terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan industri fesyen dan gaya hidup, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, mencipta peluang pekerjaan serta memperluas sektor runcit berasaskan fesyen.

“Tahun ini, buat pertama kalinya, fesyen kanak-kanak diperagakan menerusi koleksi Babyshop dengan gaya comel, selesa dan moden.

“Turut membuat penampilan istimewa ialah jenama terkenal seperti D’YANA, Elrah Exclusive, TOMEI, HLA, New Era dan Eco Optic, masing-masing membawa elemen kesederhanaan, streetwear, aksesori mewah dan kelestarian ke pentas peragaan,” katanya.

Menurutnya lagi, koleksi rekaan pelajar UniKL yang diinspirasikan daripada seni dan warisan budaya Malaysia memberikan suntikan berani dan eksperimentasi, membuktikan bakat muda tempatan semakin menyerlah.

“Inilah gandingan selebriti dan semangat komuniti dalam kemeriahan KFW25. Kehadiran selebriti popular seperti Nadeera, Hael Husaini, Amir Masdi dan Mimifly menambahkan aura glamor dan eksklusiviti acara ini,” katanya.

Ken Chin berkata, KFW25 bukan sahaja menampilkan fesyen berkelas dunia, malah menjadi platform inklusif untuk semua segmen – daripada busana Muslimah hingga gaya moden – yang menepati cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami mahu pentas KFW25 menjadi letusan budaya dan gaya yang membentuk era baharu fesyen di Kedah. Dengan kombinasi gaya, budaya dan bintang ternama, KFW25 membuktikan Alor Setar bukan sekadar pusat pentadbiran negeri, tetapi sedang bangkit sebagai satu kuasa baharu dalam peta fesyen nasional,” katanya.

Antara penyumbang utama yang menjayakan acara berprestij ini termasuk Belleview Group, Watsons, Aurum Theatre, Lee Motors, Frazel Heritage Hotel, StarCity Hotel, Nitori, Babyshop, D’yana, Eco Optic, Elrah Exclusive, HLA, New Era, Tomei, Being Juice, BT Haus Retreat, The Place Steak House, Clover Hair & Make-up, Zoomix, Visual Art Deco Sdn. Bhd., Barbara Flower Shop, UniKL, Graphicpal, Zoomix Kids, Goodnite, Levi’s, Swarovski, ecoBrown’s, Grab dan ODDO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!