'Setelah lalui detik mencabar dalam hidup, akhirnya saya kembali jejak tanah air' - Eda Ezrin

KOTA BHARU - Penyanyi lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, meluahkan rasa syukur selepas dibebaskan sepenuhnya daripada tuduhan memiliki dadah dan penyalahgunaan bahan itu oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada Rabu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya, ibu kepada dua anak itu mengakui apa yang berlaku merupakan detik sukar dalam kehidupannya.
"Setelah melalui detik-detik yang begitu mencabar dalam hidup, akhirnya saya kembali menjejak tanah air tercinta.
"Ujian ini bukan mudah, namun dengan doa yang tidak pernah putus dari keluarga, sahabat dan anda semua yang ikhlas menyokong dari jauh, saya temui kekuatan untuk terus bertahan.
"Terima kasih kerana tidak pernah membelakangkan saya," katanya.
Eda Ezrin turut memberi bayangan untuk menyusun semula langkah dalam kehidupan secara perlahan-lahan dengan penuh harapan dan doa.
Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini pada Rabu.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka terlepas daripada hukuman penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

