Makin bimbang hantar anak ke asrama

Rata-rata ibu bapa bukan sahaja bimbang anak mereka menjadi mangsa buli, malah khuatir anak mereka pula yang menjadi pembuli. Gambar hiasan
Rata-rata ibu bapa bukan sahaja bimbang anak mereka menjadi mangsa buli, malah khuatir anak mereka pula yang menjadi pembuli. Gambar hiasan
A
A
A

KES buli dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini terus menunjukkan trend membimbangkan meskipun pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan.

Keadaan itu turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan ibu bapa terutama untuk menghantar anak-anak mereka ke asrama.

Rata-rata mereka dilihat bukan sahaja bimbang anak mereka menjadi mangsa, malah khuatir anak mereka pula yang menjadi pembuli.

Tragedi kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah baru-baru ini benar-benar menyentap emosi rakyat negara ini.

Insiden itu sekali lagi membuka mata masyarakat tentang seriusnya insiden buli yang berlaku dalam institusi pendidikan.

Menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 6,208 kes buli direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024, sedikit menurun berbanding 6,528 kes pada tahun sebelumnya, namun angka itu tetap membimbangkan.

Lebih membimbangkan, kes buli kini bukan lagi sekadar ejekan atau usikan sebaliknya turut melibatkan keganasan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan mental yang serius.

Dalam beberapa kes tular sebelum ini, terdapat pelajar yang dipukul dan dipaksa melakukan perkara menjatuhkan maruah di hadapan rakan-rakan.

Antara kes yang menarik perhatian ialah kejadian di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Di MRSM itu, enam pelajar dikenakan tindakan buang sekolah selepas didapati bersalah membuli rakan secara fizikal dan emosi.

Perlu diakui bahawa membanteras gejala buli bukan tugas pihak sekolah semata-mata namun ibu bapa juga memikul tanggungjawab besar dalam membentuk akhlak dan sahsiah anak sejak kecil.

Menurut Perunding Keibubapaan, Mohd Fhais Salim, kecenderungan anak menjadi pembuli sering berpunca daripada gaya didikan yang keras dan kurang empati.

“Kalau tak nak anak ada sifat pembuli, jangan terlalu keras ketika mendidik mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, empati perlu disemai sejak kecil iaitu anak perlu ditegur dengan hikmah dan kasih sayang, bukan ugutan atau kemarahan melampau.

“Ugut anak untuk patuh bukan mendidik, ia kawalan berasaskan ketakutan. Pukul anak tanpa penjelasan tak akan ajar mereka apa-apa,” katanya.

Tambah beliau, anak yang dibesarkan tanpa penjelasan akan hilang rasa hormat terhadap orang lain sebagaimana nilai yang sering hilang dalam diri seorang pembuli.

“Kalau anak tak ada rasa hormat, mereka akan mudah membuli orang lain. Sebab itu kita sebagai ibu bapa perlu jadi contoh. Hormati anak supaya mereka belajar hormat orang lain juga,” katanya.

Dalam masa sama, pihak sekolah disarankan supaya lebih proaktif dan tidak hanya bertindak selepas menerima laporan. Pemantauan rapi dan pendekatan menyeluruh amat diperlukan.

Selain itu, menurut pemerhatian penulis, antara cabaran besar dalam menangani kes buli ialah kekurangan saksi berani tampil ke hadapan. Ada yang memilih untuk berdiam diri terutama dalam kes serius melibatkan kecederaan atau kematian.

Keadaan ini menyukarkan siasatan dan menyebabkan proses menuntut keadilan buat mangsa tergendala.

Justeru, kerjasama semua pihak amat penting dalam menangani kes ini. Saluran aduan yang selamat dan bebas tekanan juga dilihat amat penting bagi membendung kes ini.

Kes buli tidak boleh dianggap remeh. Setiap kes perlu ditangani secara adil dan saksama.

Jika kes buli dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan pelajar malah boleh menjejaskan imej institusi pendidikan negara.

* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!