Kes Zara Qairina wajar jadi titik perubahan

TRAGEDI kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah berasrama di Papar, Sabah telah mencetuskan gelombang solidariti yang menuntut siasatan dilakukan secara adil, saksama dan telus terhadap kematian remaja itu.
Mangsa, berusia 13 tahun, dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu di kawasan bawah asrama dan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya akibat kecederaan dalaman serius.
Kejadian tragis itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat khususnya di media sosial yang mengaitkan kematian Zara dengan perbuatan buli oleh pelajar senior.
Keluarga mangsa turut mendedahkan bahawa Zara sebelum ini pernah menyuarakan ketakutannya kepada individu tertentu di asrama, namun dakwa mereka tiada tindakan jelas diambil.
Ketiadaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta percanggahan maklumat antara pihak sekolah dan keluarga menambahkan lagi tanda tanya terhadap pengendalian kes ini.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Beliau menegaskan siasatan menyeluruh dan telus dibuat untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut memberi jaminan bahawa tiada mana-mana individu akan dilindungi jika didapati bersalah.
Beliau menegaskan keadilan ditegakkan dan semua pihak bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Rentetan insiden tersebut, pelbagai pihak termasuk pemimpin politik seperti Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris tampil menuntut kerajaan menggubal segera Akta Anti-Buli.
Beliau menekankan bahawa perbuatan buli tidak boleh lagi dilihat sebagai kesalahan disiplin semata-mata, sebaliknya perlu diklasifikasikan sebagai jenayah.
Ia akan memberi mesej jelas bahawa isu buli bukan kesalahan remeh tetapi jenayah serius yang tidak boleh dikompromi. Kita perlu ubah budaya normalisasi buli yang masih berlaku secara senyap di sekolah atau IPT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob turut menegaskan bahawa siasatan terhadap kes tersebut perlu dijalankan secara menyeluruh tanpa menyembunyikan sebarang maklumat.
“Jangan ada pihak cuba melindungi sesiapa. Saya akan menentang. Jika tidak diselesaikan, kita akan cari jalan,” katanya.
Focal Person Kebangsaan KPM Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran pula menggesa supaya siasatan dipercepatkan bagi menangkis pelbagai dakwaan dan andaian yang tular di media sosial berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa audit keselamatan sekolah asrama penuh dilakukan secara menyeluruh termasuk pemasangan CCTV di lokasi berisiko tinggi bagi mencegah kejadian buli berulang.
Meskipun KPM melaporkan penurunan kes buli daripada 6,528 kes pada tahun 2023 kepada 6,208 kes setakat Oktober 2024, pemerhatian masyarakat menunjukkan masih terdapat kes yang tidak dilaporkan dan diselesaikan secara tidak formal.
Ramai menyuarakan kebimbangan bahawa sistem aduan di sekolah masih lemah dan budaya 'diam' terus membelenggu mangsa buli.
Tragedi yang menimpa Zara Qairina bukan sekadar satu kes terpencil, sebaliknya menzahirkan keperluan reformasi menyeluruh terhadap sistem sekolah berasrama.
Cadangan termasuk pemasangan CCTV, latihan warden secara profesional dan penyediaan saluran aduan selamat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak perlu diberi perhatian serius.
Masyarakat kini menantikan hasil siasatan polis dan tindakan susulan oleh pihak KPM, sambil berharap tragedi yang menimpa Zara Qairina menjadi permulaan kepada perubahan sistematik demi keselamatan dan kesejahteraan pelajar di seluruh negara.
* Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
