[VIDEO] Ikan Rogadius Azizahae spesies pertama dunia dijumpai di Semenanjung Malaysia
KUALA NERUS – Misteri dasar laut negara tersingkap apabila penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui satu spesies ikan baharu yang belum pernah direkodkan di mana-mana tempat di dunia.
Penemuan penting itu hasil eksplorasi Dr Tun Nurul Aimi Mat Jaafar pada kedalaman 53 hingga 58 meter di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada 5 Jun 2016, sebelum ia dimuktamadkan selepas kerjasama dengan penyelidik dari Jepun.
Ia secara rasmi diiktiraf dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Journal of Fish Biology pada 4 Ogos lalu sekali gus menjadikan Ikan Baji Azizah sebagai spesies pertama seumpamanya direkodkan di dunia.
Tun Nurul Aimi berkata, Baji Azizah adalah spesies dasar laut yang sangat sukar dikesan kerana bentuknya yang leper dan warnanya yang seakan pasir dasar laut serta bijak menyamar.

"Spesies ini bersaiz kecil, sepanjang 10 hingga 11 sentimeter, dan dikenali menerusi ciri khas seperti corak garis gelap pada sirip pelvis serta ekor perang dengan bahagian tengah lut sinar.
"Ia juga berbeza daripada spesies lain kerana memiliki duri kecil unik di kepala dan corak sirip yang tersendiri," katanya ketika ditemui di UMT di sini pada Rabu.
Spesies ikan dari keluarga flathead itu dinamakan Rogadius Azizahae atau lebih dikenali sebagai Ikan Baji Azizah sebagai penghormatan kepada pakar ekologi molekul UMT, Prof Dr Siti Azizah Mohd Nor.
Penemuan yang berlaku di perairan Laut China Selatan (Terengganu dan Johor) itu bukan sahaja menambah koleksi biodiversiti marin negara malah menjadi bukti bahawa laut Malaysia masih kaya dengan khazanah tersembunyi.

Jelas beliau, penemuan itu selaras dengan fokus utama penyelidikan universiti itu yang memberi penekanan kepada kelestarian sumber akuatik serta pemetaan biodiversiti marin.
Menurutnya, penemuan tersebut membuka ruang lebih luas kepada kajian komuniti ikan dasar laut yang belum diterokai sepenuhnya, selain memperkukuh usaha konservasi serta dasar pengurusan perikanan negara.
"UMT akan meneruskan komitmennya untuk terus menjadi pusat rujukan utama dalam meneroka dan memelihara khazanah laut negara yang tidak ternilai.
"Kami percaya sinergi antara penyelidikan dan kesedaran awam sangat penting agar spesies baharu seperti ini tidak pupus sebelum sempat dikenali.
"Sehubungan itu, kerjasama rentas bidang melibatkan saintis, komuniti nelayan, agensi kerajaan dan masyarakat awam akan terus digerakkan," katanya.

Sementara itu, Siti Azizah yang merupakan tokoh penting dalam bidang biodiversiti ikan di Malaysia berkata, dia amat teruja dan berbesar hati kerana ikan tersebut dinamakan sempena namanya.
"Penemuan ini adalah penemuan yang luar biasa dan usaha kumpulan pengkaji hidupan marin ini wajar dipuji kerana mereka adalah antara pakar yang terbaik.
"Saya amat terharu dan bersyukur kerana nama saya diabadikan pada spesies baharu ini. Ia satu penghormatan luar biasa," ujarnya.
Spesimen spesies terbaharu itu kini disimpan di Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT sebagai bahan rujukan masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
