Saksi kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang diserang sekumpulan individu

Seorang ahli perniagaan yang juga merupakan saksi kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang cedera diserang sekumpulan individu di kediamannya pada Rabu.
Seorang ahli perniagaan yang juga merupakan saksi kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang cedera diserang sekumpulan individu di kediamannya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilaporkan telah diserang oleh sekumpulan individu di kediamannya di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 7.10 pagi.

"Siasatan masih dijalankan di lokasi kejadian dan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan mangsa yang juga ahli perniagaan didakwa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan.

Selain itu, difahamkan dua pengawal keselamatan individu terbabit turut diikat oleh penyerang berkenaan ketika kejadian.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah yang melibatkan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau ke tanah besar.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd milik Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan bersambung 19 Ogos ini.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!