'Umat Islam perlu bersatu, bergerak dalam agenda sama'

KUALA LUMPUR - Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 disifatkan sebagai usaha perpaduan ummah dengan mengangkat perumpamaan bunyanun marsus iaitu bangunan yang tersusun kukuh.
Pensyarah Program Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Norita Md Norwawi berkata, perumpamaan tersebut memberi mesej bahawa semua masyarakat termasuk umat Islam perlu bersatu dan bergerak dengan satu agenda yang sama.

"Konvensyen ini juga membantu kita untuk merancang lebih awal dalam satu arahan yang sama. Kalau kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal.
"Jadi kita tahu apa yang perlu dilakukan. Jika ada yang terjatuh, kita akan sama-sama memberikan sokongan supaya dapat menggerakkan agenda yang penting untuk ummah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 2025 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia yang pertama kali diadakan sejak penubuhannya 13 tahun lalu, menghimpunkan seramai 800 penggerak dari seluruh negara pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, konvensyen tersebut bertujuan meraikan sukarelawan dan menyelaraskan visi serta hala tuju Rumah Ngaji untuk fasa yang seterusnya.
Ujar Norita, kehadiran peserta dalam konvensyen berkenaan juga memberi inspirasi kepadanya untuk memperbanyakkan usaha ke arah mendekati al-Quran.
"Ramai penggerak Rumah Ngaji seluruh negara hadir ke konvensyen ini termasuk mereka yang sudah berumur, menunjukkan jiwa yang begitu sayang dengan al-Quran.
"Ini satu juga merupakan satu rahmat dan tanda sayang daripada ALLAH SWT kepada hambaNya, supaya kita dapat merasakan mukjizat al-Quran itu sendiri," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

