Konvensyen Rumah Ngaji 1.0 platform satukan pejuang al-Quran seluruh negara

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Para peserta menyifatkan Konvensyen Rumah Ngaji 1.0 sebagai platform menyatukan pejuang al-Quran dari seluruh negara.
Peserta dari Kota Tinggi, Johor, Rokiah Jusoh, 63, berkata, dia begitu teruja dapat bersama rakan seperjuangan dari seluruh negara yang sama-sama mengangkat al-Quran sebagai panduan hidup.
"Saya rasa seronok sangat kerana dapat ilmu dan hayati al-Quran serta dapat berjumpa dengan pejuang al-Quran di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui semasa konvensyen itu di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.
Bagi peserta dari Seremban, Negeri Sembilan, Abdullah Tahir Abd Aziz, 70, pula, konvensyen itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah menyuntik semangat untuk terus berjuang memperkasa Rumah Ngaji.
"Program ini berjaya menyatukan seluruh Rumah Ngaji di Malaysia dan menjadi langkah penting membangunkan ummah ke arah lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Ngaji Pahang, Md Abdul Sahak, 50, berharap konvensyen seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun agar masyarakat dapat mendalami isi kandungan al-Quran secara konsisten.
"Walaupun tak semua isi al-Quran dapat dihayati dalam sehari, tapi ini satu permulaan.
"Kita harap konvensyen ini akan berterusan agar isi al-Quran dapat dipetik, dihayati dan disebarkan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

