[VIDEO] 'Saya baru dapat kumpul RM32,000 daripada setengah juta' - Pelajar derita kanser tahap 4
SEREMBAN - Seorang pelajar Tingkatan Lima yang menghidap kanser neuroblastoma tahap empat memerlukan kira-kira RM500,000 lagi bagi membolehkannya menjalani rawatan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba) yang dijadualkan pada November ini.
Bapa kepada Nurul Syahira Aliesya, 17, iaitu Roshizam Rosli, 50, berkata, jumlah sumbangan orang ramai yang telah terkumpul setakat ini adalah RM32,000.
"Masih banyak wang yang saya perlukan bagi membolehkan anak saya menjalani rawatan tersebut yang dijadualkan November ini.
"Buat masa ini, doktor beri anak makan sejenis ubat bermula semalam selama dua minggu sebelum menjalani rawatan Qarziba," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, dalam tempoh dua minggu pengambilan ubat tersebut, anaknya tidak dibenarkan terdedah kepada cahaya matahari kerana ia boleh menyebabkan kulitnya terbakar.

Jelasnya, anaknya perlu mengambil 10 biji ubat setiap hari dan pada masa sama menjalani pemeriksaan darah setiap hari Rabu di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
"Saya ada tanya doktor bagaimana kalau saya tidak dapat kumpulkan wang sebanyak itu dan doktor beritahu anak perlu bergantung kepada ubat 'talian hayat'.
"Kalau boleh, kami tidak mahu anak bergantung kepada ubat selama-lamanya kerana tidak tahu kesan jangka panjangnya. Disebabkan itu, saya dan isteri sedang berusaha mengumpulkan dana yang diperlukan," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Flat Taman Semarak di sini pada Isnin.
Tambahnya, beliau dimaklumkan bahawa rawatan Qarziba boleh dilaksanakan secara berperingkat, bergantung kepada jumlah sumbangan yang diperoleh.
Sementara itu, Nurul Syahira Aliesya meluahkan rasa rindunya untuk bertemu rakan-rakan sekolah memandangkan dia tidak lagi hadir ke sekolah sejak Mac tahun lalu.
"Saya rindu nak pergi sekolah, nak jumpa kawan-kawan. Saya harap saya sihat semula."
"Memandangkan saya dah lama tinggalkan pelajaran, kalau dah sihat nanti, saya nak belajar semula dari awal mata pelajaran Tingkatan Empat supaya saya lebih bersedia ambil SPM," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu mengakui bahawa pada awalnya, sukar untuk menerima hakikat diuji dengan penyakit kronik tersebut.
Namun, ujarnya, setelah melihat rakan-rakan di hospital yang diuji dengan penyakit sama tetap tabah menghadapinya, dia nekad untuk melawan penyakit itu.
"Saya dengar ramai pesakit kanser yang dah bebas daripada kanser dan berjaya dalam pelajaran mereka.
"Saya harap saya pun boleh sembuh nanti," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keresahan Roshizam yang buntu memikirkan kos keseluruhan rawatan anaknya berjumlah RM574,740.
Beliau yang hanya bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM2,200 sebulan dan menanggung tujuh anak menyifatkan adalah amat mustahil untuk mengumpulkan jumlah tersebut tanpa bantuan orang ramai.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban Roshizam boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank miliknya (155109002136).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

