[VIDEO] Koperal didakwa pandu bahaya sebabkan kematian pelajar Tingkatan Empat
GURUN - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang remaja di Guar Chempedak, minggu lalu.
Tertuduh, Azhar Mat Saini, 52, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Azhar didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Julai lalu kira-kira jam 9 malam ketika memandu kereta di lampu isyarat Bank Rakyat, Pekan Guar Chempedak.
Tertuduh yang memakai baju berwarna kelabu dan pelitup muka, dilihat menundukkan muka sepanjang berada di kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Azhar didakwa memandu kereta dengan cara yang mungkin boleh membahayakan orang awam setelah mengambil kira segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas.

Dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya, menawarkan jaminan sebanyak RM13,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela S. Parameswaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak berusia antara 11 hingga 18 tahun yang masih belajar.
Selain itu, salah seorang anak tertuduh juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal, manakala isterinya seorang penjawat awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Majistret menetapkan 29 September depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan tersebut.
Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, mangsa, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak, mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh kereta dipandu tertuduh.
Mangsa dirawat selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, namun disahkan meninggal dunia pada malam Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

