Polis kesan ibu kandung bayi maut didera

Siasatan awal polis mendapati bayi itu dijaga oleh suspek sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia.
Siasatan awal polis mendapati bayi itu dijaga oleh suspek sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan berhubung dengan Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan maklumat seorang wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes bayi perempuan berusia tujuh bulan yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tindakan itu diambil bagi mengenal pasti ibu kandung bayi berkenaan selain memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Semakan lanjut mendapati bayi itu diserahkan kepada pasangan suami isteri yang ditahan tanpa dokumen. Setakat ini, kita telah mengambil keterangan tujuh individu termasuk jiran.

“Pasangan suami isteri itu juga masih ditahan reman dan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita (polis) akan hantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Pada Ahad, polis memaklumkan bahawa kecederaan dan kematian bayi itu berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan lalu.

Siasatan polis mendapati kecederaan yang dialami mangsa berpunca daripada tangisan berterusan bayi berkenaan yang menyebabkan ibu angkatnya berasa tertekan lalu menganiayanya.

Hasil bedah siasat mendapati bahagian kepala bayi tersebut mengalami patah tengkorak.

Pada 30 Julai, pasangan suami isteri terbabit telah ditahan selepas bayi perempuan berusia tujuh bulan itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan serta terdapat kesan lebam di badan di ruang tamu rumah mereka.

Satu laporan polis daripada seorang lelaki diterima pada pukul 9.34 malam yang memaklumkan bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang diketahui.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, polis menahan pasangan berusia 38 dan 50 tahun tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Dalam pada itu, ibu angkat bayi tersebut juga didapati positif dadah.

Siasatan awal polis mendapati bayi itu dijaga oleh suspek sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!