20 tahun menanti, kini penduduk Bukit Tandak nikmati kemudahan ATM pertama

Nik Aziz merasmikan Mesin ATM/CDM BHPetrol Bukit Tandak pada Ahad.
Nik Aziz merasmikan Mesin ATM/CDM BHPetrol Bukit Tandak pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Lebih 5,000 penduduk melibatkan kira-kira 10 kampung di sini menerima manfaat hasil pemasangan mesin juruwang automatik (ATM) yang dipasang di sebuah stesen minyak di Kampung Bukit Tandak.

Penantian lebih 20 tahun itu akhirnya berbaloi apabila mesin berkenaan dipasang hasil inisiatif Koperasi Peserta-peserta Felcra Gugusan Bukit Tandak dengan kerjasama Bank Rakyat.

Pengerusi koperasi itu, Ab Aziz Seman berkata, antara kampung yang menikmati kemudahan tersebut ialah Kampung Bukit Saji, Kampung Kubang Kuar, Kampung Tasik Gondang, Kampung Kuih Merah dan Kampung Gual Mekong.

"Penduduk tidak perlu lagi menaiki kenderaan sejauh lebih 15 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang di sebuah ATM berhampiran bandar Rantau Panjang," katanya.

Jelas beliau, pihak koperasi membuat permohonan pada tahun lalu dan mendapat persetujuan daripada pihak Bank Rakyat untuk memasang mesin itu di BHPetrol milik koperasi, sekali gus menamatkan penantian penduduk.

"Insya-ALLAH, kita akan menaik taraf stesen minyak ini agar sesuai dengan fungsinya kepada penduduk, selain menjadi satu-satunya lokasi yang menyediakan mesin ATM di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Mesin ATM/CDM BHPetrol Bukit Tandak pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengurus Cawangan Bank Rakyat Pasir Mas, Nik Aziz Hussain yang mewakili Ketua Bank Rakyat Wilayah Kelantan Terengganu, Ghazi Omar.

Sementara itu, seorang suri rumah dari Kampung Felcra Bukit Tandak, Norafidah Shaari, 36, berkata, pemasangan mesin ATM itu sangat menjimatkan masa dan kos petrol kerana tidak perlu memandu jauh untuk mengeluarkan wang perbelanjaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini saya perlu ke sebuah stesen minyak di Rantau Panjang untuk mengeluarkan wang yang dikirim suami," katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, suaminya, Mohd Wahyu Che Mohd Noor, 36, yang bekerja sebagai pemandu treler kini tidak lagi bimbang kerana kemudahan berkenaan sudah tersedia di kampung mereka.

Seorang lagi penduduk, Nor Zainora Shaari, 32, berkata, pemasangan ATM itu amat diperlukan kerana sebelum ini beliau terpaksa memandu sejauh 25 km ke bandar Pasir Mas untuk mengeluarkan wang.

Menurut Nor Zainora, suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur akan mengirim wang setiap bulan untuk perbelanjaannya setiap minggu.

"Kami memang teruja menerima kemudahan ini dan berharap penduduk setempat dapat memanfaatkannya dengan sebaiknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!