Kelantan cipta rekod Malaysia, lebih 1,000 jahit sembat Jalur Gemilang

KOTA BHARU – Kelantan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records apabila berjaya mengumpul lebih 1,000 peserta menjahit sembat Jalur Gemilang sempena Program Sulam Kasih Ambang Merdeka.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, sejarah itu tercipta di Dataran Masjid Jamek Muhammadi di sini apabila kesemua individu tersebut menyembat secara manual lebih 1,000 helai bendera Malaysia.
Beliau memaklumkan bahawa semua peserta membawa peralatan jahitan sendiri dan menyembat Jalur Gemilang yang berukuran kira-kira 0.61 meter panjang dan 1.22 meter lebar.

“Sokongan masyarakat bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah memperlihatkan perpaduan, kreativiti dan cinta terhadap tanah air melalui seni jahitan,” katanya kepada Sinar Harian.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menurut Rohani, antara yang terlibat menjahit secara manual Jalur Gemilang itu termasuk warga emas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan pelajar.

Tambah beliau, pencarian peserta telah dilakukan oleh Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita pada 6 Julai lalu, dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Alhamdulillah dan tahniah atas semangat yang ditunjukkan oleh warga Kelantan. Kita berjaya mengumpul ramai peserta untuk menyembat bendera negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
