Lebih 9,000 terima agihan RM1.72 juta bantuan i-Sejahtera

GEORGE TOWN – Usaha berterusan kerajaan Pulau Pinang dalam memperkasa kebajikan rakyat diteruskan apabila lebih 9,000 penerima bakal menerima agihan berjumlah RM1.72 juta menerusi Program i-Sejahtera Fasa 2.
Bantuan berkenaan akan dibayar secara berperingkat mulai Rabu.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, bantuan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan golongan sasar terus menjadi keutamaan.
Menurut beliau, pembayaran akan dibuat melalui Electronic Funds Transfer (EFT) kepada 9,405 penerima melibatkan empat kategori bantuan utama iaitu penghargaan warga emas, bantuan ibu tunggal, penghargaan suri emas dan bantuan orang kurang upaya (OKU).
“Bagi warga emas, seramai 7,187 penerima menerima RM1,437,400; ibu tunggal 317 penerima (RM31,700); suri emas 1,280 penerima (RM128,000); dan OKU 621 penerima (RM124,200).
“Bayaran Fasa 2/2025 ini hanya melibatkan pemohon baharu yang membuat pendaftaran sebelum 30 Jun 2025. Bagi permohonan selepas tarikh tersebut, bantuan akan disalurkan dalam Fasa 1 tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pemohon agar mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan proses pembayaran bagi Fasa 1/2026 berjalan lancar.
Tambahnya, sejak Januari hingga Julai 2025, kerajaan Pulau Pinang telah menyalurkan bantuan berjumlah RM53.83 juta kepada lebih 285,000 penerima menerusi pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program i-Sejahtera.
“Antara bantuan tersebut termasuk 209,938 penerima warga emas (RM41.9 juta), 10,644 penerima ibu tunggal (RM1.1 juta), 44,231 penerima suri emas (RM4.4 juta), 15,608 penerima OKU (RM3.1 juta), 2,700 penerima Anak Emas secara one-off (RM540,000) dan 2,695 penerima khairat kematian secara one-off (RM2.7 juta),” ujarnya.
Siew Khim menegaskan, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkukuh dasar kebajikan serta memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh menghubungi Pegawai i-Sejahtera di Unit KEMARA melalui talian 04-650 5699 / 5700, atau hadir ke pejabat di Tingkat 44, Komtar, dari Isnin hingga Jumaat, antara jam 9 pagi hingga 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

