Temasya Oghang Kedah 2025 martabatkan industri pelancongan budaya

ALOR SETAR – Industri pelancongan budaya memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi negeri, bukan sahaja pada masa kini malah untuk jangka panjang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri telah menyenaraikan seni budaya tempatan sebagai produk pelancongan budaya, selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan seni warisan budaya tidak pupus ditelan zaman atau terhakis oleh arus pemodenan, biarpun usaha ini bukanlah mudah kerana masyarakat kini lebih cenderung kepada gaya hidup moden.
“Kerajaan negeri akan terus giat mengangkat seni budaya tempatan. Menghidupkan budaya tradisional dalam masyarakat moden tentunya mencabar dan memerlukan minat mendalam terhadap kebudayaan warisan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Datuk Mohd Salleh Saidin sempena perasmian Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 di pekarangan Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat merasmikan TOK 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Julai.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Muhammad Sanusi berkata, TOK 2025 menjadi platform mempromosikan produk pelancongan serta menyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan negeri, selain menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran tujuh juta pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong pada tahun lalu.
“Ia berpaksikan kepada lima komponen, iaitu sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah sebagai asas keunikan Kedah untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran TOK 2025 adalah manifestasi rasa cinta dan penghargaan terhadap warisan budaya negeri, dan beliau yakin nilai-nilai kebudayaan masih dipelihara berikutan komitmen tinggi para penggiat seni budaya di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, TOK 2025 dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung susulan penganjuran lebih meriah dengan pengisian pelbagai program budaya.
“Sasaran ini berdasarkan sambutan memberangsangkan tahun lalu yang merekodkan kehadiran 400,000 pengunjung,” katanya.
Menurutnya, program yang memasuki edisi kedua ini merupakan inisiatif MOTAC yang diselaraskan oleh JKKN sebagai platform untuk memartabatkan seni budaya negeri melalui pelancongan budaya.

“Tahun ini, kita tambah sehari lagi penganjuran dan pelbagaikan program sisipan seperti Kedah Berselawat 2.0, Pertandingan Kembara Budaya dan Fantastic Food Festival yang menghimpunkan 120 vendor makanan tular serta penampilan 25 pempengaruh terkenal,” katanya.
Mohd Amran berkata, antara kelainan tahun ini termasuk persembahan gabungan silat, muzik dan tarian pelbagai kaum menerusi Gerak Gempita dengan penyertaan 2,000 pesilat Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Negeri Kedah yang mempersembahkan gerak Jurus Bunga Teratai.
“Persembahan lain menampilkan pantomin Perang Musuh Berbisik, serta tarian ikonik negeri Kedah iaitu Tarian Tradisional Cinta Sayang yang mengetengahkan penyertaan pelbagai kaum di negeri ini.
“Tidak ketinggalan, gabungan muzik berbilang kaum menerusi Sound of Kedah yang membawakan lagu-lagu medley Teater Tradisional Mek Mulung,” ujarnya.
Tambah beliau, pelancongan budaya bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan usaha menyatupadukan masyarakat dan merancakkan ekonomi tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

