Masyarakat antarabangsa semakin lantang bersuara isu Palestin - Mohamad

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan perubahan pendirian masyarakat antarabangsa yang kini semakin lantang mengecam Israel serta mengambil pendekatan pragmatik dan berorientasikan tindakan bagi menyelesaikan isu penubuhan negara Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sokongan antarabangsa yang meluas terhadap Palestin semakin jelas melalui Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.

"Malaysia mengambil maklum hasil persidangan yang diadakan di New York baru-baru ini yang menyaksikan sokongan antarabangsa meluas terhadap pelaksanaan penyelesaian dua negara.

"Ia turut menunjukkan gesaan agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera dan berterusan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian supaya rejim Zionis Israel menghentikan pembunuhan kejam dan cubaan pengusiran paksa terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, Israel perlu menamatkan semua sekatan terhadap akses kemanusiaan dan memastikan bantuan disalurkan tanpa halangan.

"Kegagalan Israel merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," ujarnya.

Mohamad berkata, Malaysia kekal dengan solidariti tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta menyokong hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri.

“Kami tetap teguh menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lebih 60,000 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 150,000 cedera, manakala 1.9 juta lagi dipaksa berpindah akibat keganasan berterusan rejim Zionis Israel sejak Oktober 2023.

"Malaysia turut bimbang dengan krisis kemanusiaan yang disaksikan dunia secara senyap sejak 22 bulan lalu.

"Rejim Zionis terus menyekat penyampaian bantuan kemanusiaan hingga menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, bekalan perubatan dan bahan api," tambah beliau.

Mohamad berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap ancaman kebuluran yang semakin ketara apabila ribuan orang awam, khususnya kanak-kanak terjejas akibat kekurangan zat makanan.

Lebih menyayat hati, katanya, lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh secara kejam hanya kerana beratur untuk menerima bantuan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF) sejak akhir Mei 2025.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan menegaskan bahawa insiden berkenaan perlu disiasat serta pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!