Safriah dilantik Timbalan Datuk Bandar Shah Alam

SHAH ALAM – Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin menyaksikan detik bersejarah apabila Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar, mengangkat sumpah jawatan secara rasmi.
Majlis Angkat Sumpah yang berlangsung di Pejabat Datuk Bandar itu turut menyaksikan beliau melafazkan ikrar pengakuan penerimaan jawatan, diikuti Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Ikrar Aku Janji Integriti.
Semua proses tersebut dilaksanakan di hadapan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Pelantikan ini diharapkan mampu menyuntik semangat baharu dalam pentadbiran MBSA, dengan harapan agar beliau dapat menjalankan amanah yang diberikan secara bertanggungjawab serta menyumbangkan pandangan dan idea bernas ke arah peningkatan prestasi perkhidmatan bandar raya.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling merangkap Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir; Ahli Majlis MBSA, Tengku Ahmad Tengku Kasim dan Mohd Firdaus Mokhtar.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen MBSA dalam memperkukuh struktur pentadbiran dan pengurusan bandar raya ke arah kemajuan dan kecemerlangan Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

