Tujuh sekawan beli cincin emas bentuk hati tanda persahabatan

SHAH ALAM – Tujuh sekawan menzahirkan keakraban mereka dengan membeli cincin emas berbentuk sama iaitu 'hati' sebagai simbol ikatan erat dan bermakna sepanjang enam tahun persahabatan.
Ikatan yang terjalin sejak pandemik Covid-19 itu bukan sahaja menyatukan mereka sebagai jiran, malah menjadi sumber kekuatan di saat susah dan senang.
Menurut Norbaitie Mohd Dali, 39, persahabatan mereka terjalin secara semula jadi apabila masing-masing mula berkongsi aktiviti harian.
“Kami memang selalu buat aktiviti bersama antaranya 'potluck', berkelah dan sebagainya. Walaupun berlainan negeri kami tetap rapat.
"Idea membeli cincin emas yang sama bentuk itu mula tercetus memandangkan sebelum ini kami beberapa kali mengenakan pakaian sedondon untuk acara tertentu. Katanya, keinginan memiliki sesuatu yang lebih bermakna dan kekal menjadi pencetus kepada simbol persahabatan ini.
"Kami pernah buat baju dan tudung pun sama. Lepas itu saya cakap, apa kata kita buat satu benda berharga yang boleh simpan lama sebagai tanda persahabatan,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Tambah Norbaitie, bersempena Hari Persahabatan yang baharu sahaja berlalu, mereka mengambil keputusan untuk merakamkan momen istimewa itu dengan memakai cincin serupa.
Bagaimanapun jelasnya, untuk mendapatkan cincin emas berbentuk hati yang sama tidak mudah.
Dia yang bekerja sendiri menjelaskan, mereka pergi ke banyak kedai emas sekitar Shah Alam dan Klang namun kebanyakannya tiada reka bentuk sama untuk semua saiz jari tujuh sekawan.
"Akhirnya, kami menemui sebuah kedai yang sanggup menyiapkan cincin dengan reka bentuk dan saiz dikehendaki.
"Dalam masa sama cabaran kewangan turut menjadi halangan memandangkan beberapa orang daripada kami hanya bekerja sendiri atau suri rumah dengan pendapatan tidak tetap.
“Tapi kami tolong-menolong, siapa yang tak cukup duit kami pinjamkan dulu. Janji semua orang dapat pakai cincin hati untuk program-program selepas ini,"ulasnya.
Bagi Norbaitie, cincin ini bukan hanya perhiasan tetapi lambang persaudaraan yang telah terjalin erat.
"Kini, walaupun ada diantara kami sedang membuat persiapan untuk berpindah atas urusan keluarga, saya harap persahabatan ini akan kekal selamanya.
“Kami tahu satu hari nanti masing-masing akan berpindah ke tempat lain. Tapi harapan saya biarlah cincin ini jadi kenangan yang akan sentiasa mengikat walau di mana pun berada,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

