Dua beradik kongsi duit raya beli cincin emas untuk ibu

SHAH ALAM - Seorang wanita dari Tumpat, Kelantan tidak menyangka dua anak lelakinya sanggup menggunakan duit raya mereka untuk membeli cincin emas sebagai hadiah kepadanya.
Ibu mereka, Siti Khadijah Ahmad, 35, berkata, dua anak lelakinya, Muhammad Danish Irfan Tajuddin, 11, dan Muhammad Danish Idlan, 7, sendiri menyatakan hasrat untuk membeli cincin buat dirinya.
Menurut wanita yang mesra disapa Ijah Ahmad itu, dia tidak pernah meminta hadiah berkenaan, sebaliknya ia datang daripada keikhlasan hati anak-anaknya.
“Selama ini, anak-anak memang suka tengok saya pakai barang kemas, malah mereka kerap bertanya tentang harga dan perhiasan yang saya miliki.
“Tahun ini, mereka cakap, ‘Mama, kami ingin beli emas untuk Mama.’ Sebagai ibu, saya amat tersentuh dengan tindakan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu, video berdurasi 46 saat yang dikongsikan Siti Khadijah menerusi akaun TikTok @ijahahmad90 telah meraih lebih 455,000 tontonan dan 16,800 tanda suka.
Bercerita lanjut, pengusaha bakeri itu memaklumkan kedua-dua anaknya memilih sendiri cincin bernilai kira-kira RM950 di sebuah kedai emas di daerah sama.
“Apabila saya memakai cincin emas itu, anak-anak saya sangat seronok dan teruja melihat saya mengenakan hadiah pemberian mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sebelum ini dia pernah membeli jongkong emas sebagai simpanan masa depan untuk anak-anak dan sentiasa berusaha membahagiakan mereka termasuk dengan membeli mainan dan keperluan lain.
Kini, katanya, anak-anak pula membalas kasih sayangnya dengan cara tersendiri.
Mengulas isu berkaitan faraid yang dibangkitkan segelintir netizen, Siti Khadijah menegaskan perkara itu tidak timbul kerana cincin tersebut dibeli menggunakan duit anak-anak dan untuk kegunaan masa depan mereka.
“Lagipun, saya cuma ingin menggembirakan anak-anak dan merakamkan video ketika mereka membeli cincin itu untuk dijadikan kenangan. Tidak sangka pula ia tular di TikTok,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

