Siasatan menyeluruh kenal pasti punca kematian pelatih Palapes - Polis

KOTA TINGGI – Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan tersebut termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
“Kita menerima laporan kematian pelatih Palapes berkenaan pada jam 5.33 petang Isnin lalu.
“Siasatan awal polis mendapati pada jam 2.30 petang, Isnin, mangsa yang berusia 22 tahun tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh Pegawai Perubatan (RSAT), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur siasatan.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang ibu tunggal merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya yang meninggal dunia selepas menyertai latihan Palapes UTM di Johor, baru-baru ini.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa kematian anaknya, Syamsul Haris menimbulkan pelbagai persoalan berikutan keadaan fizikal mangsa yang dilihat tidak sepadan dengan alasan awal yang diterima iaitu akibat sawan.
Dalam pada itu, Yusof berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan punca kematian masih menunggu keputusan makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan disiasat oleh Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Asisten Superintenden Abd Rahim Idris.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan rasmi UTM, pihaknya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, UTM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Pihak universiti juga telah menghubungi waris Allahyarham dan bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan.
“UTM akan terus memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan dan sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” menurut kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
