Ibu gesa siasat kematian anak selepas jalani latihan Palapes

IPOH – Seorang ibu tunggal merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya yang meninggal dunia selepas menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, baru-baru ini.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsuddin, 22, menimbulkan pelbagai persoalan berikutan keadaan fizikal mangsa yang dilihat tidak sepadan dengan alasan awal yang diterima iaitu akibat sawan.
Menurutnya, keadaan fizikal anak sulung daripada tiga beradik itu sangat menyedihkan kerana terdapat pendarahan di beberapa bahagian badan, sekali gus menimbulkan keraguan.
“Saya diberitahu anak saya meninggal dunia pada 28 Julai jam 4.33 petang oleh seorang pensyarah melalui panggilan telefon. Sebab kematian yang dimaklumkan adalah kerana mengalami sawan selepas menjalani latihan menembak.
“Namun apabila saya melihat jenazah anak saya di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, keadaannya sangat menyayat hati. Terdapat banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata. Tubuhnya juga kelihatan lebam serta dadanya dipenuhi kesan seakan darah beku,” katanya dalam sidang media di pejabat peguam Datuk Naran Singh & Co di sini pada Jumaat.
Ummu Haiman memaklumkan beliau tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah atau mengambil gambar ketika di hospital berkenaan, sebelum membuat permintaan agar urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail kerana mahu ia dilakukan oleh pakar forensik.

Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, laporan yang diterima masih tergantung dengan alasan menunggu keputusan makmal kimia, yang dijangka mengambil masa tiga bulan.
Katanya, kali terakhir mereka berhubung adalah malam sebelum kejadian, apabila anaknya sempat menghantar mesej WhatsApp memaklumkan dia berjaya menjalani latihan menembak dan kelihatan sangat ceria serta bersemangat.
“Dia cakap, ‘Ma jaga diri, saya dah nak serah telefon’, dan selepas itu tiada lagi mesej daripada dia. Dia juga ada hantar gambar berpakaian seragam sambil senyum.
“Keesokannya saya diberitahu dia telah meninggal dunia,” katanya sambil menahan sebak.
Ummu Haiman berkata, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Khamis bagi meminta siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian anaknya itu.
“Saya tidak menuduh sesiapa, cuma saya mahukan kebenaran. Saya minta polis siasat secara menyeluruh dan temu bual semua pelatih yang ada bersama anak saya semasa perkhemahan itu.
“Dia baru masuk universiti tahun lalu dan ambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber. Baru tiga hari hadiri latihan, saya sudah terima jenazahnya. Saya hantar anak dalam keadaan sihat, tapi terima dia dalam keadaan yang menyedihkan,” katanya yang tinggal di Semenyih, Selangor.
Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh berkata, keluarga hanya mahu mendapatkan jawapan yang tepat dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada si mati.
“Setiap ibu bapa yang hantar anak ke universiti pastinya mengharapkan anak pulang dalam keadaan selamat. Tetapi dalam kes ini, anak baru menyertai latihan tiga hari, tiba-tiba sudah meninggal dunia,” katanya.
Naran turut menggesa agar laporan bedah siasat dikeluarkan dengan segera memandangkan kematian membabitkan pelajar muda berusia 22 tahun yang sedang mengikuti latihan rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

