Pengurangan tarif dicapai tanpa jejas kedaulatan negara - Tengku Zafrul

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz
Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia tetap berpegang teguh terhadap beberapa perkara asas (garis merah) dan berjaya mencapai kadar tarif baharu tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar utama yang menyokong kestabilan serta pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pengurangan tarif kepada 19 peratus itu merupakan hasil daripada proses rundingan yang teliti dan sistematik.

"Keputusan ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai.

"Kami merakamkan penghargaan kepada rakan runding kami di AS, terutamanya Pejabat Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS, atas kerjasama membina sepanjang proses rundingan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.

Tambah Tengku Zafrul, MITI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memaksimumkan peluang daripada perkembangan itu termasuk momentum pelaburan yang diluluskan, projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar realisasi pelaburan melebihi 85 peratus serta inisiatif pembangunan negara yang bersifat pemangkin.

"Kami kekal komited dalam mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dengan ekonomi utama dunia termasuk AS.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia juga akan meneruskan reformasi industri dan usaha strategik mempelbagaikan perdagangan bagi menyokong pertumbuhan negara," katanya.

Menurutnya, MITI juga telah bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menilai kesan pelbagai tahap tarif terhadap KDNK Malaysia.

Ujarnya, dalam usaha menguruskan impak daripada kadar 19 peratus ini, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mencari kaedah mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia.

"Kami juga akan menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia bagi mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport.

"Selain itu, MITI akan meneruskan program reformasi industri seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Negara untuk membantu syarikat Malaysia mempertingkat kecekapan, mengadaptasi automasi, dan meningkatkan produktiviti.

"MITI juga akan meneroka kaedah sokongan tambahan kepada syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu ini," katanya.

Tambah beliau lagi, landskap ekonomi global sejak Mac 2025 menjadi semakin tidak menentu berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidaktentuan tarif dan ketegangan geopolitik yang meningkat.

Jelasnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia sangat dipengaruhi oleh faktor luaran ini.

"Walau bagaimanapun, MITI menegaskan bahawa Malaysia menghadapi cabaran ini dari posisi yang kukuh dan berdaya tahan, berkat permintaan domestik yang terus mapan hasil sokongan dasar berterusan serta reformasi industri dan ekonomi yang menggalakkan perbelanjaan swasta.

"MITI mengalu-alukan keputusan AS untuk menurunkan kadar tarif timbal balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

"Keputusan positif ini adalah hasil daripada keterlibatan berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan hubungan perdagangan serta pelaburan yang saling melengkapi antara Malaysia dan AS selama lebih 60 tahun.

"Kadar tarif 19 peratus ini juga selari dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara Asia Tenggara lain," katanya.

Sementara itu, MITI turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam proses rundingan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pejabat Perdana Menteri, pelbagai kementerian dan agensi, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), serta wakil badan pemikir dan industri.

Ujarnya lagi, mereka telah memainkan peranan penting dalam merangka tawaran terbaik Malaysia kepada AS.

"Dalam bulan-bulan akan datang, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan melaksanakan program penerangan bersasar mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.

"MITI berharap untuk terus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS pasaran eksport terbesar Malaysia yang bernilai RM198.65 bilion serta sumber utama pelaburan asing dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM32.82 bilion pada tahun 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!