Trump semak semula kadar tarif import ke atas Malaysia - PM

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif import yang dikenakan ke atas Malaysia dan akan mengumumkan kadarnya pada Jumaat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui selepas perbincangan dilakukan bersama beliau dan Trump menerusi panggilan telefon pada jam 6.50 pagi Khamis.
“Kami turut membincangkan soal tarif, ada semangat dan prinsip perdagangan bebas serta pelbagai siri rundingan yang digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pihak representatif perdagangan dan setiausaha perdagangan AS.
“Setelah perbincangan itu berlaku dan penjelasan yang saya berikan, beliau (Trump) memutuskan untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif ke esok dan kita doakan ia akan membantu serta tidak membebankan ekonomi negara,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat di sini.
AS akan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula Jumaat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini menegaskan bahawa rundingan antara Malaysia dan AS masih berjalan sehingga tarikh kuat kuasa tarif tersebut pada 1 Ogos 2025, justeru rundingan tersebut tidak boleh dianggap gagal.
Kata Anwar, apa yang penting ialah kewaspadaan negara kerana kemungkinan harga barangan dan kos mungkin meningkat sekiranya tarif itu tidak seperti yang dijangkakan.
Sementara itu, beliau berkata, Trump juga menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
"Walaupun dalam respons saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan sikap positif kedua-dua negara serta kerjasama yang ditunjukkan AS terutamanya Trump dan Xi Jinping, Presiden China," ujar beliau.
Menurutnya, Trump turut mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Saya maklumkan pada beliau (yang) saya akan umumkan (pengesahan kehadiran beliau) di Parlimen hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
