Buntu urus harta pusaka
Pembahagian harta pusaka arwah nenek tidak selesai, tanah jadi terbiar tidak dapat dimanfaatkan

KEDEGILAN untuk memberikan kerjasama selain tidak bersetuju dengan keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama ahli waris menyebabkan sebidang tanah berkeluasan tiga ekar terbiar dan tidak dapat diambil manfaatnya.
Ada dalam kalangan ahli waris tidak bersetuju dengan pembahagian secara faraid dan ada juga yang tidak mahu pembahagian secara sama rata.
“Masing-masing berkeras dan tidak mahu mengalah. Jadi, urusan untuk menukar nama dan hak milik tanah arwah nenek tidak dapat dibuat walaupun beberapa kali perbincangan dilakukan.
“Ada yang tidak percaya kepada adik-beradik sendiri jika proses tukar hak milik tersebut dibuat kepada hanya satu nama, bimbang penama tersebut tidak mengagihkan hasil jualan tanah itu kerana ia melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya.

Begitulah luahan Nurhashimah Sharif, 38, berkaitan proses pembahagian harta pusaka yang melibatkan ramai ahli waris kerana berlaku kematian berlapis, kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Bertambah sulit selepas waris meninggal dunia
Menurutnya, apa yang lebih menyukarkan apabila harta pusaka peninggalan neneknya itu turut melibatkan moyangnya dan dia pula meninggal dunia sebelum pembahagian harta pusaka neneknya itu disempurnakan.
“Bertambah rumit apabila bahagian moyang itu perlu difaraidkan pula kepada adik-beradik nenek yang kini tinggal berjauhan dan ada yang tidak dapat dikesan keberadaannya.
“Waktu terluang hujung minggu saya gunakan untuk mencari kembali waris dan adakalanya terpaksa mengambil cuti untuk menjejaki waris.
“Ada juga adik-beradik arwah nenek yang layak menerima faraid daripada moyang juga telah meninggal dunia selepas itu. Bertambah pening untuk menguruskannya,” ujar beliau lagi.
Menurut Nurhashimah, itu belum dikira cerita-cerita yang didengari daripada ahli keluarga masing-masing.

“Ada yang bercerita, tanah tersebut arwah nenek pernah menyebut untuk memberikan kepada adik-beradiknya namun ia hanya cakap-cakap mulut.
“Ada juga yang menyatakan bahawa sebahagian daripada tanah itu telah ditukar dengan sejumlah wang kerana arwah nenek terdesak untuk menggunakan wang ketika itu,” katanya.
Pelbagai cerita yang didengar daripada saudara-mara, namun niatnya hanya untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka yang telah tertunda sekian lama.
Niat murni selesaikan faraid
“Sebagai generasi cucu, saya terpanggil untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka arwah nenek ini. Selagi tidak selesai, tanah tersebut terbiar begitu sahaja tanpa sebarang manfaat untuk waris.
“Sekurang-kurangnya ia boleh dimanfaatkan atau dijual untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak,” katanya.
Dia pernah bertanyakan perkara itu kepada seorang ustaz dan hukumnya haram melengah-lengahkan pembahagian harta pusaka serta berdosa besar.
“Saya memberitahu ibu bapa saya berkenaan perkara ini dan mereka akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka itu.
“Bagaimanapun, kami terpaksa menghabiskan wang dan masa yang banyak untuk menjejaki waris-waris yang jauh,” kata wanita itu.

Ujarnya, apa yang lebih menyedihkan, apabila waris-waris telah bersetuju untuk melepaskan hak, namun tidak lama kemudian mengubah hasrat tersebut.
“Semasa mesyuarat keluarga, semua bersetuju untuk melepaskan hak dan ada yang mahu menebus hak, namun apabila pulang ke rumah masing-masing, lain pula pertimbangannya.
“Akhirnya kami bersetuju untuk mengambil khidmat pengurusan harta pusaka untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Selepas beberapa sesi mesyuarat bersama pengurus harta pusaka, akhirnya proses pembahagian harta pusaka itu selesai selepas lebih 30 tahun tertangguh.
Nurhashimah kini lega dapat menyempurnakan urusan harta pusaka arwah neneknya.
Pesannya kepada masyarakat agar menyegerakan urusan pembahagian harta pusaka selepas kematian ahli keluarga masing-masing dan jangan melengah-lengahkan proses tersebut hingga berlaku kematian berlapis.
“Semua orang akan menghadapi situasi ahli keluarga meninggal dunia walaupun masih muda juga akan tetap dijemput menghadap Ilahi.
“Persiapkan diri dan pelajarilah asas ilmu faraid bagi memudahkan proses pembahagian harta pusaka ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

