Makan kenduri tapi tak 'salam kaut', ketahui hukumnya

AMALAN ‘salam kaut’ kepada tuan rumah ketika menghadiri majlis kenduri perkahwinan sememangnya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun tidak semua berbuat demikian. -Foto: CANVA
AMALAN ‘salam kaut’ kepada tuan rumah ketika menghadiri majlis kenduri perkahwinan sememangnya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun tidak semua berbuat demikian. -Foto: CANVA
A
A
A

AMALAN ‘salam kaut’ atau memberikan sumbangan tunai kepada tuan rumah ketika menghadiri majlis kenduri perkahwinan sememangnya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tujuan utamanya adalah untuk meringankan beban penganjur, di samping meraikan kegembiraan mereka menerima ahli keluarga baharu.

Meskipun begitu, budaya itu sering kali menjadi perdebatan kerana ada segelintir individu yang tidak terbiasa berbuat demikian. Maka, mereka hadir meraikan tuan rumah dan memeriahkan majlis serta menjamah hidangan disajikan, namun pulang tanpa memberi sebarang sumbangan.

Keadaan itu adakalanya mencetuskan suara-suara yang mempersoalkan tindakan tersebut, malah ada juga yang mengaitkannya dengan sifat kedekut atau tidak mengenang jasa.

Bagaimanapun, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, perkara itu perlu dileliti berdasarkan neraca agama.

USTAZ AZHAR
USTAZ AZHAR

“Apakah hukum jika tak beri duit masa jamuan kahwin, sedangkan kita sudah makan kenyang? Jawapannya, tengok keadaan. Kalau kita memang kedekut, hukumnya makruh, dibenci syarak.

“Jika kita terlupa bawa duit, hukumnya harus kerana jamuan makan tidak disyaratkan (tidak wajib) bayar duit,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial YouTube miliknya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam Islam, jelas Ustaz Azhar, kenduri kahwin merupakan salah satu bentuk ibadah dan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kesyukuran atas sebuah pernikahan.

“Kita jamu orang sebab Nabi Muhammad SAW suruh apabila dapat menantu atau isteri,” katanya.

Perkara itu disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Adakanlah walimah walaupun dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sekiranya tidak mampu dilakukan dengan kambing besar, ujar agamawan itu, memadai dengan menjamu anak kambing atau menyediakan makanan sederhana seperti nasi lemak.

“Janji biar orang makan tanda terima kasih kepada ALLAH (kerana) mengurniakan menantu atau pasangan hidup,” ungkapnya.

Dalam pada itu, agamawan tersebut turut mengingatkan, kenduri kahwin bukanlah bersifat komersial yang mewajibkan para tetamu untuk membayar atau membalas segala hidangan yang dijamah.

Tegas beliau, tiada kewajipan untuk tetamu memberi wang kepada tuan rumah.

WALAUPUN tiada kewajipan untuk tetamu memberi wang kepada tuan rumah, tetapi memberikan sumbangan, hadiah atau wang kepada tuan rumah adalah sunat hukumnya dan mendapat ganjaran pahala jika diniatkan sebagai hadiah sesama Muslim. -Foto: CANVA
WALAUPUN tiada kewajipan untuk tetamu memberi wang kepada tuan rumah, tetapi memberikan sumbangan, hadiah atau wang kepada tuan rumah adalah sunat hukumnya dan mendapat ganjaran pahala jika diniatkan sebagai hadiah sesama Muslim. -Foto: CANVA

Pun begitu, katanya, memberikan sumbangan, hadiah atau wang kepada tuan rumah adalah sunat hukumnya dan mendapat ganjaran pahala jika diniatkan sebagai hadiah sesama Muslim.

“Dalil sunat, Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Berilah hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang’.

“(Bila) jumpa orang, selalulah latih diri kita beri hadiah. Nabi tidak kata majlis kahwin (semata-mata), (tapi) mana-mana tempat kita jumpa, beri hadiah…dan Nabi juga tidak kata (beri) duit ke pisang, (semuanya) terpulang kepada kita,” terangnya panjang lebar.

Beliau turut berkongsi amalan masyarakat pada zaman dahulu yang mana mereka memberi hadiah berbentuk barangan harian hasil tangan sendiri seperti ubi, pisang, ikan atau apa sahaja yang mereka usahakan.

“Zaman dulu, orang bagi hadiah kenduri kahwin tak bagi duit kerana duit payah. Orang beri barang. (Contohnya), orang tanam pisang, kalau pergi kenduri kahwin, dia bawa pisang. Orang tanam ubi, bawa ubi,” kata beliau.

Kini, katanya, situasi sudah berubah dan duit lebih mudah serta praktikal sebagai hadiah.

Justeru, ujar Ustaz Azhar, memberikan RM5, RM10 atau apa sahaja jumlah yang termampu adalah harus dan bukannya satu kewajipan.

“Cuma bila kita niat memberi hadiah (kerana) ikut sunnah Nabi Muhammad SAW, (kita akan) dapat pahala,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!