Fitnah KPK, Husam diarah bayar RM260,000

KOTA BHARU – Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Abazafree Mohd Abbas pada Khamis selepas mendapati Husam, selaku defendan telah memfitnah syarikat tersebut yang merupakan plaintif dalam kes berkenaan.
Peguam KPK, Wan Muhamad Hafiz Wan Zawawi berkata, defendan didapati membuat tuduhan fitnah bahawa aktiviti pembalakan plaintif menjejaskan hak Orang Asli, selain mendakwa syarikat tersebut telah ditutup serta berlaku penyelewengan dan salah tatakelola dalam pentadbiran syarikat.

"Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM60,000 susulan perbicaraan penuh kes ini," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Wan Muhamad Hafiz memberitahu bahawa hakim turut mengarahkan defendan membuat permohonan maaf kepada plaintif serta memadamkan semua kenyataan fitnah berkaitan.
"Defendan juga tidak dibenarkan mengulangi sebarang kenyataan fitnah terhadap plaintif," katanya.
KPK memfailkan saman tersebut pada September 2017 dengan menamakan bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu sebagai defendan berikutan kenyataan dan ceramah beliau terhadap anak syarikat kerajaan negeri berkenaan.
Husam ketika itu merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan didakwa telah membuat kenyataan tidak benar berunsur fitnah di Facebook serta dalam ucapan ceramah beliau terhadap KPK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
