RMK13: RM67 bilion bukti komitmen reformasi pendidikan negara

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan peruntukan sebanyak RM67 bilion kepada sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai manifestasi iltizam Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, fokus utama menerusi RMK13 adalah terhadap pendidikan prasekolah hingga menengah bagi memastikan kawal selia yang lebih berfokus dan berkesan dapat dilaksanakan.
“Sebahagian peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan sekolah baharu serta kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, inisiatif pembinaan sekolah juga dijadikan sebahagian syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu, manakala peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai, terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, RMK13 turut menekankan usaha memastikan kadar enrolmen murid di peringkat prasekolah dan menengah mencapai tahap sejagat.
Jelasnya, Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, dan tumpuan seterusnya adalah kepada usaha mewajibkan pendidikan prasekolah.
“Langkah mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
“Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah di bawah KPM akan dibuka di seluruh negara,” katanya.
Menurut beliau lagi, RMK13 juga memberi penekanan terhadap usaha memperkasa penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Fadhlina berkata, kejayaan reformasi pendidikan negara turut bergantung kepada kekuatan barisan guru.
“Justeru, kerajaan akan memberi fokus kepada aspek penambahbaikan pengambilan guru baharu, program latihan persediaan, serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa RMK13 adalah lambang usaha dan komitmen kerajaan dalam merombak sistem pendidikan negara melalui pendekatan baharu yang radikal demi manfaat generasi masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

