Faktor manusia punca utama kebakaran hutan, bukan cuaca

Nor Hisham (dua dari kiri) dan Aiman Athirah (lima dari kanan) menyerahkan bot Penyelamat komuniti kepada penerima
Nor Hisham (dua dari kiri) dan Aiman Athirah (lima dari kanan) menyerahkan bot Penyelamat komuniti kepada penerima
A
A
A

SEREMBAN – Faktor manusia dikenal pasti sebagai penyebab utama berlakunya kebakaran hutan di negara ini, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, berikutan cuaca panas dan ketiadaan hujan kebelakangan ini, risiko kebakaran akibat faktor semula jadi adalah sangat minimum.

"Ia lebih kepada faktor manusia, cuma sama ada ia disengajakan atau tidak disengajakan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Kempen Keselamatan Aktiviti di Air sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia di sini, pada Khamis.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Nor Hisham menjelaskan, keadaan tiupan angin Monsun Barat Daya ketika ini boleh memburukkan lagi kebakaran yang berlaku.

Nor Hisham (dua dari kiri) Dan Aiman Athirah (tengah) memakaikan jaket keselamatan Program Kempen Keselamatan Aktiviti di Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia
Nor Hisham (dua dari kiri) Dan Aiman Athirah (tengah) memakaikan jaket keselamatan Program Kempen Keselamatan Aktiviti di Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, termasuk bagi tujuan pertanian.

"Contohnya, seseorang mungkin membakar untuk tujuan berkebun, tetapi kemudian ia merebak. Atau pun dia lihat kawasan semak-samun dan berniat baik untuk membersihkannya dengan cara membakar, namun akhirnya merebak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jika sebelum ini insiden lemas sering dikaitkan dengan musim Monsun Timur Laut, kini ia lebih banyak berlaku ketika musim cuti panjang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, trend masyarakat yang gemar mengunjungi kawasan rekreasi dan menjalankan aktiviti di air menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.

“Dalam tempoh lima tahun, iaitu dari 2020 hingga 2024, JBPM merekodkan sebanyak 1,359 kematian disebabkan insiden lemas, dengan purata 272 kematian setahun.

“Trend ini menunjukkan peningkatan dan penurunan mengikut musim, tetapi kekal melebihi 200 kes kematian setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui JBPM telah selesai membuat perolehan sebanyak 150 unit bot penyelamat untuk kegunaan komuniti dan pasukan penyelamat.

Menurut beliau, perolehan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"Saya difahamkan pihak bomba telah mengenal pasti organisasi yang berkelayakan untuk menerima kemudahan tersebut seperti Pasukan Bomba Komuniti, Pasukan Bomba Sukarela, Kumpulan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

"Penyerahan akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai tahun ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!