22 kali 'water bombing' padam kebakaran Hutan Tebuk Panchor

Operasi jatuhan air dengan pesawat AW139 dilakukan di kawasan titik panas berhampiran tasik dan kawasan berbukit dari jam 3.10 petang hingga 4.32 petang. Foto: Bomba Perak
Operasi jatuhan air dengan pesawat AW139 dilakukan di kawasan titik panas berhampiran tasik dan kawasan berbukit dari jam 3.10 petang hingga 4.32 petang. Foto: Bomba Perak
A
A
A

BAGAN SERAI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melakukan 22 kali 'water bombing' atau jatuhan air dari udara menggunakan pesawat khas dalam usaha memadam kebakaran hutan di Hutan Tebuk Panchor di sini pada Sabtu.

Langkah agresif itu bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran termasuk Tasik Bukit Merah sejak mula dikesan Khamis lalu.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, operasi jatuhan air dengan pesawat AW139 dilakukan di kawasan titik panas berhampiran tasik dan kawasan berbukit dari jam 3.10 petang hingga 4.32 petang.

"Walaupun lokasi kebakaran jauh dari kawasan penempatan dan risiko kemerebakan rendah, kita tetap laksanakan pemadaman menyeluruh bagi memastikan bara tidak menyala semula dan menjejaskan kualiti udara," katanya dalam kenyataan media.

Sayani berkata, hasil tinjauan udara mendapati, hanya satu kepulan asap masih kelihatan di kawasan puncak yang kini sedang ditangani.

Katanya, operasi darat atau ground attack telah digerakkan dengan kekuatan seramai 31 anggota bomba merangkumi empat sektor utama.

"Pasukan berkenaan menjalankan pemadaman dengan menebang tunggul-tunggul pokok yang masih berbara serta memastikan tiada sumber nyalaan tertinggal.

"Turut dilakukan ialah teknik ‘relay pumping’ sejauh 2,500 kaki menggunakan 25 gulung hos bomba untuk membawa air ke lokasi bara yang sukar dicapai," katanya.

Beliau berkata, selain pemadaman, pasukannya turut membina fire break atau laluan putus api di beberapa lokasi strategik sebagai langkah pencegahan awal sekiranya angin bertiup kencang atau cuaca bertambah panas.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan, cuaca panas berpanjangan mengakibatkan berlaku kebakaran belukar melibatkan kawasan seluas 23.47 hektar berhampiran Kampung Tersusun Tebuk Panchor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!