Pelampau Yahudi diam-diam 'cop' utara Gaza

TEL AVIV - Seramai 22 menteri Kabinet dan beberapa penggubal undang-undang di bawah kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuntut 'lawatan' ke utara Genting Gaza.
Kumpulan itu memberi alasan ia bagi membolehkan kumpulan pelampau Yahudi meninjau tapak yang bakal menjadi lokasi penempatan haram pada masa depan.
Sebelum ini, pemimpin pelampau Yahudi, Daniella Weiss berkata, penduduk Palestin akan dipindahkan ke Mesir dan beberapa negara Afrika.
“Kami sudah mempunyai senarai kira-kira 1,000 keluarga Israel yang sudah pun mendaftar untuk menetap di Gaza sebaik sahaja pengusiran penduduk Palestin selesai,” ujarnya dengan angkuh.
Permohonan itu dibuat menerusi surat dikemukakan kepada Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Rabu, di tengah-tengah krisis kebuluran yang semakin meruncing dan pengagihan bantuan kemanusiaan yang kucar-kacir di Gaza.
Kandungan surat itu sewenang-wenangnya menyebut komuniti Yahudi sepatutnya dipindahkan ke utara wilayah tersebut kerana ia berada di bawah kawalan penuh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan sudah dikosongkan penduduk Palestin.
“Kawasan utara kini 'ditakluki'. Genting Gaza bukan lagi kawasan geografi sebaliknya 'jantung yang menjadi nadi tanah Israel,” menurut butiran surat itu lagi.
Difahamkan, ahli politik sayap kanan dan wakil ekstremis Yahudi bakal bertemu di Knesset (Parlimen) pada minggu ini untuk membincangkan rancangan jahat bagi mengusir penduduk Palestin dari Gaza ketika persidangan 'Riviera di Gaza: Daripada visi kepada realiti'.
Akhbar tempatan menerusi laporan pada Isnin lalu mendakwa Netanyahu mahu mencadangkan kepada Kabinet tentang pelan merampas bahagian di Gaza secara berperingkat sebagai cubaan untuk memujuk Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich supaya kekal dalam kerajaan gabungan pimpinannya yang kian goyah. - Agensi
Info:
Pada 2005, seramai 8,600 pendatang Yahudi di blok penempatan Gush Katif di selatan Gaza diusir selepas pengunduran tentera Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

