Asyraf Khalid pertimbang tindakan undang-undang, mahu perbetul persepsi

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pengasas podcast Apa Cerita, Asyraf Khalid menegaskan bahawa serangan berterusan terhadap dirinya di media sosial bukan sahaja mencalarkan imej peribadi tetapi turut menjejaskan periuk nasinya sebagai ahli perniagaan dan pemegang saham.
Jelas Asyraf, 33, keputusan mengambil tindakan undang-undang bukan bertujuan mencetuskan sebarang konfrontasi, sebaliknya demi memperbetulkan persepsi awam serta menjaga maruah keluarga dan reputasi perniagaannya yang terjejas ekoran salah faham berhubung siaran sedutan episod terbaharu di podcast kelolaannya.
“Perkara ini sudah mengganggu periuk nasi saya sebagai usahawan, pemegang saham dan ia mempengaruhi orang lain untuk memberi gambaran buruk terhadap saya sehingga saya dilabel sebagai pedofilia dan perogol serta menjadi mangsa ‘body shaming’.
“Kalau libatkan saya seorang tidak mengapa, tetapi sampai menyebut nama bapa saya… kenapa perlu seret keluarga saya dalam hal ini?” katanya dsalam sidang khas pada petang Jumaat.
Sebagai langkah bertanggungjawab, Asyraf dan pasukannya mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan siaran episod tersebut demi meredakan keadaan serta menghormati sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi mencabar mana-mana pihak tetapi apabila serangan dilakukan secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja terhadap saya, malah keluarga saya, saya tidak boleh terus berdiam diri.
“Ini bukan lagi soal kandungan media sosial, ini soal maruah dan keselamatan,” ujarnya.
Susulan itu, beliau telah membuat satu laporan polis pada 31 Julai lalu di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Tindakan ini saya ambil bukan kerana dendam, tetapi kerana saya perlu mempertahankan nama baik saya, keluarga dan pasukan saya yang bekerja keras selama ini.
“Saya tidak akan membiarkan sesiapa menjatuhkan saya semata-mata untuk mengejar populariti murahan,” katanya lagi.
Sementara itu, peguamnya, Abdul Hakeem Aiman memaklumkan bahawa satu tindakan sivil di bawah undang-undang fitnah bakal difailkan dalam masa terdekat.
“Kami percaya ini satu perkara wajar untuk dijelaskan oleh Asyraf tetapi bukan menerusi media sosial.
"Hasil perbincangan, kami akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat.
“Namun, kami tidak akan mengulas lanjut mengenainya buat masa ini demi menghormati proses kehakiman,” jelasnya.
Terdahulu, netizen ‘menyerang’ laman sosial Apa Cerita? Podcast selepas Asyraf memuat naik potongan klip pendek daripada video wawancara audio siarnya dengan wajah tetamu tersebut dikaburkan.
Ia susulan Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu ke program audio siar tersebut.
Caprice atau Ariz Ramli, 37, berang apabila individu seperti itu yang juga didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga diketengahkan.
Perkongsiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai yang mempersoal motif sebenar suami kepada pelakon Tya Ariffin itu mengundang lelaki terbabit ke program berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

