JAS terbangkan dron pantau pembakaran terbuka

Wan Abdul Latiff (dua dari kiri) beramah mesra dengan petugas media semasa sesi libat urus di Kuala Lumpur pada Khamis.
Wan Abdul Latiff (dua dari kiri) beramah mesra dengan petugas media semasa sesi libat urus di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan sebanyak 4,247 rondaan darat dan 859 penerbangan dron bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, statistik tersebut dicatatkan bagi tempoh tahun ini sehingga Julai.

Menurutnya, JAS telah mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.

“Isu jerebu turut menjadi fokus utama kerana ia memberi impak kesihatan yang serius kepada masyarakat.

“JAS sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara, setiap jam, 24 jam sehari, melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) di Putrajaya,” katanya semasa sesi libat urus di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Udara JAS, Nor Aziah Jaafar.

Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, Malaysia terus bekerjasama dengan negara-negara jiran melalui ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution bagi menyelaras tindakan pencegahan dan mitigasi kebakaran tanah serta hutan di rantau ini.

Tambahnya, melalui platform tersebut, Malaysia turut menyuarakan pelbagai cadangan dan inisiatif kepada negara-negara jiran untuk membanteras isu kebakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu merentas sempadan.

Katanya lagi, di peringkat domestik, pelbagai tindakan telah dan sedang dilaksanakan, termasuk penguatkuasaan undang-undang dan rondaan di kawasan panas (hotspot), pemadaman kebakaran terbuka bersama agensi berkaitan serta pewartaan perwakilan kuasa kepada 13 agensi lain pada 7 Julai 2025, yang berkuat kuasa mulai 8 Julai 2025.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam menangani isu pembakaran terbuka yang menyumbang kepada situasi jerebu.

“Pewakilan kuasa ini membolehkan tindakan segera, bersepadu dan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dengan pantas oleh agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai langkah kesiapsiagaan dan penyelarasan yang lebih komprehensif, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan sejak 26 Februari 2025 bagi menyelaras tindakan agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Selain itu, kerjasama rondaan dan pemantauan turut dijalankan bersama agensi rakan strategik seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi penguatkuasaan lain di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!