RMK13: Agrikomoditi, halal dan kewangan Islam jadi sektor tumpuan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi komitmen untuk terus melonjakkan pembangunan sektor strategik negara menerusi pelbagai pendekatan berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya melibatkan subsektor agrikomoditi, industri halal dan kewangan Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menumpukan kepada peningkatan produktiviti sektor agrikomoditi seperti sawit, getah dan koko dengan penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, automasi, robotik, serta penyelidikan dan pembangunan (RDCI).
“Usaha ini akan meningkatkan kecekapan operasi dan dalam masa sama mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja. Kita perlu bergerak ke arah kemampanan dan kecekapan dalam setiap segmen industri,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kerajaan juga memberi perhatian kepada sektor strategik yang mampu menjana impak besar kepada ekonomi negara seperti industri halal, kewangan, pelancongan, industri kreatif serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam RMK13, nilai eksport halal disasarkan meningkat kepada RM80 bilion menjelang 2030, manakala sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka naik kepada 11 peratus.
“Peningkatan ini akan disokong melalui penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia dan pembangunan Taman Perindustrian Halal di Melaka, Perak dan Kelantan,” jelas Anwar.
Dalam sektor kewangan, kerajaan akan memperkukuh industri perkhidmatan kewangan dengan memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem, termasuk teknologi tokenisasi aset, penggunaan mata wang digital bank pusat dan mata wang kripto.
Platform sandbox akan diperluaskan bagi membolehkan inovasi kewangan diuji dalam persekitaran kawal selia yang selamat, sementara mekanisme pembiayaan campuran akan dipertingkatkan untuk membolehkan perniagaan mendapat akses kepada pelbagai sumber modal.
Kerajaan turut memperkasakan pembiayaan berasaskan ekuiti melalui modal teroka selaras dengan pelaksanaan Malaysia Venture Capital Roadmap (MVCR) bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula.
Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) pula akan terus berperanan sebagai pemacu pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi maju.
Selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, pelbagai inisiatif turut dirangka menerusi Pelan Sektor Kewangan dan pelan induk pasaran modal baharu.
“Tumpuan akan diberikan kepada pembentukan pasaran modal yang mampan, inovatif dan inklusif, termasuk kerjasama antarabangsa melalui Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

