RMK13: Kerajaan teruskan inisiatif STR, SARA

KUALA LUMPUR - Inisiatif bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), iaitu pelan negara untuk lima tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Payung Rahmah juga akan dipergiat melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah yang membolehkan akses kepada makanan dengan harga berpatutan.
"Selain itu, Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar juga diteruskan.
"Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan. Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam masa sama, Anwar berkata, bagi memperkasa sistem sosial berteraskan insan madani, program seperti Kembara Perpaduan Malaysia akan diteruskan untuk mendekatkan masyarakat berbilang latar melalui pendidikan nilai dan dialog terbuka rentas budaya.
"Manakala, Piagam Harmoni Malaysia akan dibangunkan sebagai panduan utama bagi perhubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.
"Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut dilaksanakan dengan pembaharuan yang selari kehendak semasa. Identiti nasional akan diperkuat, bukan dengan paksaan, tetapi melalui kefahaman dan semangat kebersamaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
