Batal cukai barang mewah: Kerajaan tidak serius urus dasar fiskal lebih adil - Muda

SHAH ALAM - Kerajaan didakwa tidak serius dalam menguruskan dasar fiskal yang lebih adil kepada semua rakyat susulan membatalkan perancangan untuk memperkenalkan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT).
Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz berkata, sedangkan HVGT satu sistem percukaian yang lebih adil kepada rakyat Malaysia kerana hanya golongan mahakaya yang akan dicukaikan.
Beliau berkata, ia akan fokus kepada barangan tertentu dalam kehidupan mewah seperti jam tangan, beg, aksesori dan pelbagai barangan yang bernilai tinggi.
"Ini satu langkah yang sekali lagi menunjukkan hipokrasi Kerajaan Madani.
"Dulunya mereka kata mahu cukai yang mahakaya, tetapi perancangan untuk kenalkan cukai seperti HVGT ini terus dilupakan.
"Kerajaan Madani perlu ingat, mereka perlu membela rakyat marhaen dan bukannya menyelamatkan golongan elitis.
"Dulu kerajaan umumkan melalui pengenalan HVGT, kerajaan boleh jana hasil cukai sebanyak RM700 juta. Apa perancangan kerajaan untuk menggantikan anggaran hasil tersebut?," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Amira Aisya, persoalannya sama ada Kerajaan Madani hanya berpura-pura mahu mencukai golongan mahakaya dan kembalikan hasil cukai tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia?
Jelasnya, perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang terburu buru boleh dilaksanakan kerajaan namun cukai untuk mahakaya hanya jadi slogan semata-mata.
"Sekiranya barangan mewah telah dimasukkan sekali dalam peluasan skop SST, berapa anggaran hasil cukai yang akan diterima oleh kerajaan dan bagaimana kerajaan mahu klasifikasikan hasil tersebut datangnya daripada barangan mewah?
"Saya fikir kerajaan masih keliru dengan pengelasan barangan yang dikenakan cukai SST sehingga barangan asas pun naik cukai, tetapi bukan barangan mewah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

