Kerajaan tidak teruskan cukai bernilai tinggi - PM

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi atau High Value Goods Tax (HVGT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menjelaskan bahawa prinsip HVGT telah diterapkan dalam semakan semula struktur cukai jualan, dengan barang mewah dan bersifat pilihan dikenakan cukai pada kadar lima atau 10 peratus.

Pada masa sama, kerajaan mengambil beberapa langkah melalui pelaksanaan cukai langsung dan tidak langsung bagi mengukuhkan kutipan hasil negara.

“Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal atau Capital Gains Tax (CGT) telah bermula secara efektif pada 1 Mac 2024. Berdasarkan jumlah dan nilai transaksi semasa bagi saham tidak tersenarai, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sekitar RM800 juta setahun.

“Namun kutipan sebenar bagi sesuatu tahun taksiran hanya akan dimuktamadkan selepas pembayar cukai syarikat mengemukakan borang nyata cukai pendapatan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Jawapan itu sebagai respons kepada soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyakan mengenai unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk pengenalan cukai HVGT, cukai perkhidmatan digital (Digital Services Tax), CGT, cukai barangan bernilai rendah (Low Value Goods – LVG), peluasan cukai SST serta rasionalisasi subsidi yang sedang dan akan dilaksanakan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan tidak melaksanakan cukai khusus ke atas barangan digital, sebaliknya telah mengenakan Service Tax on Digital Services (SToDS) bermula 1 Januari 2020 di bawah sistem cukai perkhidmatan sedia ada.

Beliau berkata, cukai tersebut dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan digital yang menawarkan perkhidmatan secara dalam talian atau melalui jaringan elektronik lain. Untuk tahun 2024, SToDS telah mencatatkan pulangan hasil sebanyak RM1.6 bilion.

“Pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah (LVG) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 mencatatkan kutipan sekitar RM500 juta bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 pula dijangka menambah hasil sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2025 dan meningkat kepada RM10 bilion pada tahun 2026.

“Manakala penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan dana kerajaan sehingga RM600 juta sebulan,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!