Polis siasat video tular dakwa anggota trafik peras ugut, terima rasuah ketika sekatan

GEORGE TOWN - Polis menerima satu laporan berhubung hantaran tular di media sosial yang mendakwa anggota polis trafik melakukan peras ugut dan menerima rasuah ketika menjalankan sekatan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya mengesan hantaran berkenaan hari ini dan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pada masa sama, aspek pematuhan prosedur operasi standard dan tatatertib anggota polis trafik terbabit turut akan dimasukkan dalam skop siasatan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan hantaran berkenaan atau membuat sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh menjejaskan siasatan polis serta mencemarkan imej dan kredibiliti anggota Polis Diraja Malaysia.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran mendakwa diperas ugut oleh anggota polis trafik ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di kawasan Relau di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
