Pusat cuci kereta pilih kenderaan Singapura akan dikenakan tindakan - MBJB

Mohd Haffiz
Mohd Haffiz
A
A
A

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen terhadap pusat cuci kenderaan yang didapati menolak pelanggan tempatan dan hanya menerima kenderaan dari Singapura.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, meskipun belum menerima aduan rasmi berhubung perkara itu, siasatan akan dijalankan pihaknya.

"Terdapat 543 pusat cuci kereta berlesen di kawasan MBJB. Kebanyakkan pusat cuci kereta ini menawarkan cuci 'water wax' yang berharga RM40 dan ke atas kepada warga singapura.

"Ini kerana itu adalah perkhidmatan yang mahal ditawarkan dan menolak kereta warga tempatan yang mahu cucian biasa. Tetapi kes ini tidak dapat dibuktikan dan tiada aduan rasmi diterima.

"Kita akan terus memantau isu ini, jika ia berterusan tindakan tegas termasuk batalkan lesen akan dibuat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB pada Rabu.

Jumaat lalu, tular pusat cuci kereta di Taman Abad di sini yang didakwa hanya menerima kereta bernombor pendaftaran Singapura untuk dicuci.

Premis yang dijaga pekerja warga asing itu dilaporkan menolak permintaan pelanggan tempatan dengan alasan telah ditempah semua pelanggan dari republik berkenaan.

Sementara itu, Mohd Haffiz berkata, MBJB akan terus melaksanakan operasi mengesan pusat cuci kereta tidak berlesen.

Beliau memberitahu, sebanyak 53 premis pusat cuci kereta tidak berlesen telah diambil tindakan sepanjang tahun lalu manakala 33 buah premis tidak berlesen dikesan dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan mesyuarat MBJB pada Rabu turut bersetuju mengklasifikasikan semula aktiviti pusat cuci kenderaan daripada kategori tidak berisiko tinggi kepada berisiko tinggi.

Keputusan itu dibuat selepas banyak kesalahan melibatkan pengusaha pusat cuci dikenal pasti, termasuk isu kebersihan, sistem kumbahan dan pekerja asing tanpa dokumentasi sah.

"Pengusaha juga perlu menyediakan daftar pekerja untuk disemak anggota bertugas sama ada daripada pihak MBJB atau agensi penguatkuasaan lain yang terlibat.

"Sekiranya gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tidakan akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. Selain lesen tidak akan diperbaharui atau digantung," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!